Skip to main
Logo Malaysiakini

Permohonan Azeez batal tuduhan rasuah diketahui 1 Julai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rayuan bekas pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya akan diketahui pada 1 Julai ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh tersebut untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan tertuduh.

“Mengenai permohonan (oleh Azeez) di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pertuduhan, tarikh keputusan telah ditetapkan pada 1 Julai,” kata pendakwa raya kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Azeez yang juga ahli parlimen Baling membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac tahun lepas, yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga tuduhan rasuah dan sepuluh tuduhan melakukan pengubahan wang haram.

Semasa prosiding di mahkamah terbuka pagi ini, peguam tertuduh, Hisyam Teh Poh Teik mengesahkan Mahkamah Rayuan telah menetapkan 1 Julai untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan anak guamnya.

Azura kemudian menetapkan 30 Ogos untuk sebutan kes utama.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 21 Mac untuk menyampaikan keputusannya berhubung rayuan Azeez. Bagaimanapun, keputusan pada tarikh tersebut ditangguhkan.

Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Kedah dan Perak.

Dia juga menghadapi 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas.

Kesalahan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010, dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor, pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Berhubung pertuduhan pengubahan wang haram, Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Lembah Klang, antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abang Azeez, Abdul Latif pada mulanya didakwa bersubahat atas dua pertuduhan memperoleh rasuah RM4 juta, sebagai suapan kerana membantu Menuju Asas mendapatkan projek jalan raya melalui tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Bagaimanapun, susulan permohonan oleh pihak pendakwaan pada 8 Feb, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebas tanpa melepaskan (DNAA) tertuduh.

Latif kemudian merayu di Mahkamah Tinggi, yang pada 19 Jan tahun ini membenarkan rayuannya dan menukar keputusan DNAA kepada pembebasan penuh.

Di bawah undang-undang, tertuduh yang diberi DNAA masih boleh didakwa dengan pertuduhan yang sama pada masa akan datang jika pihak pendakwaan ingin berbuat demikian.