Hasil siasatan mengenai kartel ayam dibentang Isnin - Nanta
Pasukan khas yang ditubuhkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat dakwaan perlakuan antipersaingan dalam industri ayam negara akan membentangkan hasil siasatan mereka pada Isnin ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pasukan khas berkenaan akan mengemukakan dapatan mereka kepada anggota-anggota suruhanjaya itu yang bertindak sebagai sebuah badan separa kehakiman yang mempunyai kuasa memutuskan sama ada terdapat pelanggaran terhadap Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
“Pagi tadi saya difahamkan oleh pihak MyCC (yang) mereka telah selesai (menyiasat) dan akan kemukakan hasil siasatan,” katanya selepas menyertai Op Anti-Sorok bersama pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur hari ini.
MyCC telah menubuhkan pasukan khas pada awal Februari lepas untuk menyiasat dakwaan terdapatnya perlakuan antipersaingan merangkumi perjanjian antipersaingan dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam.
Pasukan khas MyCC telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua pemain industri ayam di seluruh Malaysia daripada peringkat huluan hingga hiliran.
Berhubung Op Anti-Sorok, Nanta berkata ia dilaksanakan untuk membanteras aktiviti menyorok barang kawalan susulan pengumuman kerajaan untuk mengapungkan harga barang seperti ayam, telur ayam dan minyak masak berbotol berkuat kuasa 1 Julai ini.
Katanya operasi itu juga adalah langkah memastikan pemain industri dan peniaga barangan kawalan sentiasa cakna akan tanggungjawab mereka dalam menjamin bekalan mencukupi di pasaran dan tidak melakukan penyelewengan.
“Sejak Januari hingga 22 Jun tahun ini, sebanyak 158,064 pemeriksaan telah dijalankan merangkumi peruncit terpilih, pemborong terpilih dan pengilang terpilih mendapati bekalan barang kawalan mencukupi untuk keperluan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam memaklumkan terdapat 13 aduan sorok barang kawalan diterima kementerian itu sejak awal tahun ini, namun selepas siasatan dijalankan, tiada bukti kesalahan ditemukan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai