Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar janji bawa isu Orang Asli ke parlimen

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berjanji akan meneliti dan membawa isu masyarakat Orang Asli pada sidang parlimen yang akan datang.

Ketua pembangkang itu berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada delegasi komuniti Orang Asli dari Bera, Pahang, Gua Musang, Kelantan; Gerik, Tapah dan Tanjung Malim, Perak dan Hulu Selangor, Selangor hari ini.

Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Bob Manolan yang juga bekas senator mewakili komuniti dan hal ehwal Orang Asli.

"Mereka meluahkan masalah yang dihadapi saban tahun, terutamanya isu tanah, hak dan kualiti pendidikan serta masalah pembangunan dan pembalakan yang menghimpit kehidupan di kampung-kampung yang didiami sejak sekian lama.

"Setelah lebih 60 tahun merdeka, masalah-masalah asas yang merundung mereka terus dipinggirkan meski mereka juga adalah rakyat Malaysia seperti kaum-kaum lain di negara ini.

"Mereka turut menyerahkan beberapa memorandum yang akan saya teliti dan bawa ke perhatian Dewan Rakyat dan Ahli-ahli Parlimen yang terlibat pada sidang Parlimen yang akan datang,” tulis Anwar di laman Facebooknya.

Manolan dilantik sebagai senator semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan khidmatnya berakhir pada Ogos tahun lalu.

Sidang Dewan Rakyat dijadual pada 18 Julai.

Baru-baru ini, aktivis Orang Asli mengadakan protes terhadap pembinaan Empangan Nenggiri di Kelantan yang bakal menenggelamkan kampung dan hutan yang menjadi sumber pendapatan mereka.