Skip to main
Logo Malaysiakini

Lejar UKSB tegaskan perlunya undang-undang dana politik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pendedahan lejar rahsia dalam perbicaraan kes membabitkan Ahmad Zahid Hamidi dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) mempertegaska keperluan mewujudkan undang-undang pembiayaan politik, kata Edmund Terence Gomez.

Katanya terdapat banyak kes rasuah melibatkan ahli politik yang dikecualikan daripada pertuduhan sejak akhir-akhir ini selepas mereka mendakwa wang yang diterima itu merupakan sumbangan politik.

“Dalam kes yang berlaku, mereka dibenarkan untuk dibebaskan daripada pertuduhan kerana tiada undang-undang berkaitan derma politik.

“(Tetapi) jika anda melihat jumlah wang yang terlibat, ia adalah luar biasa dan jumlah wang yang sangat besar itu tentu tidak diberikan begitu saja, tanpa sebarang jangkaan pulangan," katanya.

Tambah ahli ekonomi politik itu lagi isu yang turut penting ialah dakwaan bahawa wang berkenaan dibayar untuk menyokong sebahagian daripada aktiviti perniagaan mereka, seperti yang dilihat dalam kes UKSB.

"Jelas sekali, ini menunjukkan penyalahgunaan kuasa, tidak kira bagaimana sekali pun cara anda melihatnya.

“Justeru mesti ada undang-undang yang sesuai untuk menghalang perkara ini daripada berlaku kerana ia terjadi secara meluas,” kata Gomez ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya adalah membimbangkan apabila derma politik itu dilihat masuk ke dalam akaun peribadi ahli politik, terutamanya dalam kalangan pihak kerajaan.

Tambah Gogez pihak yang sepatutnya menerima sumbangan itu juga kelihatan tidak menyedarinya.

Katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya sedar apa yang berlaku kerana ia telah muncul dalam kes mahkamah berulang-ulang kali.

"Mengapa tidak ada sebarang siasatan lanjut atau apa-apa pendedahan dibuat walaupun oleh mereka tentang semua derma politik ini?" katanya.

Nama beberapa ahli politik terkemuka baru-baru ini disebut salah seorang saksi pendakwaan ketika dia memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Antara nama yang dikaitkan dengan bayaran diberi UKSB ialah Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Walaupun SPRM memberitahu mereka akan membuka kertas siasatan berhubung perkara berkenaan susulan keterangan diberikan saksi terbabit, persoalan timbul, mengapa agensi antirasuah itu tidak berbuat demikian lebih awal kerana kerana bukti dan saksi perbicaraan itu disediakan oleh mereka.

Sementara itu Gomez turut mempersoalkan mengapa SPRM masih belum membuka siasatan berhubung penyalahgunaan GLC seperti yang dilihat dalam kes membabitkan ketua setiausaha negara ketika itu Mohd Sidek Hassan yang dilantik menjadi merupakan ahli lembaga penasihat 1MDB.

“Sidek telah diberi gaji yang besar, dan - dengan pengakuannya sendiri - tidak melakukan apa-apa.

"Kenapa tidak ada siasatan mengenai perkara ini juga? Iaitu ahli lembaga (penasihat) GLC diberi gaji yang besar kerana tidak melakukan apa-apa.

“Apa yang dia dedahkan itu bukanlah sesuatu yang kita tidak tahu. Ia mungkin satu amalan yang telah berlaku sejak sekian lama tetapi tidak didedahkan secara terbuka,” katanya.

[Baca berita penuh]