Dipecat dari MT: Tajuddin tahu apa dia telah buat, kata Zahid
Dikemas kini dengan berita penuh.
Tajuddin Abdul Rahman digugurkan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno kerana melanggar keputusan parti, kata presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datuk tidak menyatakan kesalahan yang dilakukan Tajuddin.
Dia sebaliknya meminta pemberita bertanya sendiri kepada ahli parlimen Pasir Salak itu.
"Saya fikir tanyalah dia sendiri, itu yang sebaiknya. Tidak adil jika saya beritahu umum...tentunya dia tahu apa yang dia lakukan.
"Apa kenyataan yang telah dia buat, apakah bahan-bahan ucapan atau ceramah-ceramah atau bahan-bahan yang dia nyatakan dalam mesyuarat tertutup, tanya dia sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya BN Youth Job Fair Aspirasi anjuran Pemuda BN di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam media melaporkan Tajuddin dipecat daripada jawatan MKT Umno menerusi surat bertarikh 21 Jun lalu yang ditandatangi setiausaha agung Ahmad Maslan.
Tajuddin ketika dihubungi meminta Malaysiakini agar bertanya kepada pucuk pimpinan Umno berhubung sebab pemecatannya.
Tiada mekanisme rayuan
Sementara itu ditanya sama ada Tajuddin boleh merayu, Ahmad Zahid berkata sebagai ahli MKT yang dilantik tiada mekanisme untuk berbuat demikian.
Katanya, sebagai ahli MKT parti, Tajuddin sepatutnya akur dengan segala keputusan yang telah dibuat parti.
"Kuasa pelantikan (MKT) ikut perlembagaan adalah kuasa presiden parti, saya berpendirian bahawa mana-mana ahli MKT seharusnya mematahui arahan dan ketetapan parti.
"Suatu ketetapan harus dipatuhi, kita boleh berbeza pendapat di dalam perbincangan atau mesyuarat tetapi jika sesuatu keputusan itu dibuat keputusan itu (adalah) keputusan parti," katanya lagi.
‘Dia banyak di luar negara lepas ini’
Sementara itu, seorang ahli MKT Umno yang enggan namanya didedahkan berkata tiada kemelut dalaman parti berkait dengan penamatan jawatan Tajuddin sebagai ahli MKT Umno.
Sebaliknya keputusan diambil sebagai persiapan untuk menghadapi PRU15 bagi merangka strategi mencipta kemenangan.
"Tak ada masalah dalaman parti, Tajuddin akan dilantik sebagai duta besar dan Umno dalam persiapan menghadapi PRU15.
"Selepas ini dia (Tajuddin) akan lebih banyak berada di luar negara, sedangkan kita dalam persiapan untuk menghadapi PRU15, jadi pasti susah untuk dia selalu bersama jika ada mesyuarat ataupun perbincangan," katanya kepada Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai