'Bersatu tak perlu ikut kluster mahkamah serang PM'
Seorang pemimpin Bersatu hari ini menegur ahli Bersatu yang menurutnya senada dengan "kluster mahkamah" dalam Umno apabila turut mengecam kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di media sosial.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Faiz Na'aman, berkata parti itu seharusnya mengurangkan musuh dan meramaikan sekutu.
"Kita ini sudahlah dimusuhi 'kluster mahkamah' dan para pengampunya, bahkan Bersatu juga hakikatnya telah ditolak parti-parti di luar Perikatan Nasional (PN) kecuali mungkin GPS (Gabungan Parti Sarawak).
"Maka jika ada pihak yang pro kepada sekutu kita, contohnya Ismail yang kita pun tahu dia dan pasukannya sedang diasak secara tak langsung oleh 'kluster mahkamah' dalam partinya, janganlah kita turut mengecamnya secara berjemaah di media sosial seolah-olah kita pula bantu agenda halus seteru sekutu kita itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail dilihat didesak oleh pihak dalam Umno untuk segera mengadakan PRU15, seperti yang dapat dilihat ketika Konvensyen BN pada 1 Jun lalu.
Terbaru,Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Ismail sebagai perdana menteri Umno paling lemah dalam sejarah negara, berikutan kelewatannya membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida Kamaruddin dalam kabinet.
Semalam, bekas setiausaha agung BN Annuar Musa berkata tidak wajar untuk pihak dalam Umno - yang disifatkannya sebagai tidak menunjukkan semangat kepartian yan baik - untuk memperlekehkan Ismail.
Mengulas lanjut, Mohd Faiz menggesa agar semua pihak dalam Bersatu agar lebih sabar dan matang dalam mendepani perkembangan politik negara serta isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan rakyat.
"Ingatlah kembali ikrar perjuangan asal penubuhan parti kita yang berpaksikan semangat kebangsaan untuk perpaduan seluruh warga Malaysia, mempertahankan kedudukan Islam dan menjamin hak agama-agama lain yang diiktiraf di negara ini, menentang rasuah dan salah guna kuasa yang menjahanamkan tamadun serta maruah bangsa.
"Musuh sebenar kita bukanlah parti tertentu, individu tertentu, atau kerajaan tertentu. Musuh kita ialah kelompok yang korup, zalim dan ekstrem terhadap ummah serta masyarakat amnya tanpa mengira dari mana kelompok itu datang atau berada. Inilah 'jihad' sebenar kita Insya-Allah," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai