Skip to main
Logo Malaysiakini

'Datang selesai isu tanah atau kami kempen lawan MIC pada PRU'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kecewa menunggu hampir 44 tahun untuk memiliki rumah sendiri tidak kesampaian, 36 keluarga bekas penduduk Ladang Rini di Skudai, Johor memberi pilihan akhir kepada MIC untuk menyelesaikan isu tanah enam ekar antara bekas penduduk dan Koperasi Pekerja Jaya (KPJ), sebuah koperasi berkaitan MIC.

Dalam sidang media hari ini, wakil bekas penduduk M Subramaniam, 67, berkata bahawa mereka tidak teragak-agak turun kempen menentang MIC pada pilihan raya umum akan datang sekiranya isu tanah itu gagal diselesaikan.

"Kami hari ini mencabar pemimpin MIC untuk datang untuk 'settlement' (penyelesaian) atau jumpa kami di lapangan.

"Kami sangat kecewa dengan sikap segelintir pemimpin MIC yang terus menipu kami.

"Kami sedia turun di setiap kawasan parlimen ditandingi MIC dan kempen menentang mereka pada PRU akan datang," katanya kepada pemberita di Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

Petang tadi mereka juga menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan KPJ berhubung isu tanah itu.

Untuk rekod, pada 1978 tanah seluas enam ekar dijual pemilik Ladang Rini kepada 47 keluarga pekerja ladang tersebut pada harga RM32,000.

Namun, tanah itu ditukar milik kepada KPJ dengan syarat kawasan itu dibangunkan dengan rumah berkembar dalam tempoh dua tahun setengah.

Menurut Subramaniam, janji tersebut dibuat bekas presiden MIC S Samy Vellu yang ketika itu menjadi pengerusi KPJ.

Tetapi, katanya pada 2016, KPJ memulakan projek perumahan dua tingkat tanpa berbincang dengan bekas penduduk ladang itu.

"Harganya pula RM500,000 seunit dan ia di luar kemampuan kami. Selepas mengadakan beberapa pertemuan dengan KPJ termasuk Samy Vellu, akhirnya koperasi berkenaan berjanji untuk memberi pampasan.

"Namun, kami terkejut dengan tawaran KPJ apabila mereka menjanjikan hanya RM35,000 untuk satu keluarga dan kini ia dinaikkan kepada RM50,000.

“Namun, sebanyak 36 keluarga menolak dan hanya sembilan keluarga menerima pampasan tersebut.

"Ini tanah kami, kami beli. Tetapi selepas 44 tahun kami diberi hanya RM50,000 satu keluarga. Adilkah?" soal Subramaniam.

Malaysiakini telah menghubungi timbalan presiden MIC merangkap pengerusi KPJ M Saravanan dan pejabat KPJ untuk mendapatkan komen.

Terdahulu, kumpulan penduduk itu mendesak KPJ memenuhi salah satu daripada tiga permintaan dipersetujui oleh mereka.

"Permintaan kami, KPJ perlu memberi pampasan RM200,000 setiap keluarga. Sekiranya tidak boleh, beri rumah percuma kepada 36 keluarga yang masih tidak setuju untuk menerima pampasan ditawarkan oleh KPJ.

"Jika mereka tidak dapat memenuhi salah satu daripada dua permintaan ini, KPJ boleh ambil balik rumah mereka dan serah balik tanah kami," katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa sebanyak 64 unit rumah dua tingkat dibina oleh KPJ di atas tanah itu dan hampir 60 unit telah dijual kepada pihak ketiga.