Skip to main
Logo Malaysiakini

Malaysiakini raih tiga pingat perak di anugerah media MPI

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysiakini memenangi tempat kedua dalam tiga kategori berbeza pada Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 yang diumumkan hari ini.

Bagi kategori ‘Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang, Malaysiakini menang melalui tiga laporan mengenai kemudahan pelupusan tetap Lynas dan kaitan projek itu dengan kerabat Pahang.

Laporan itu bertajuk “Company linked to royalty in Lynas' waste disposal site project”, “Lynas EIA seeks to exorcise 40-year-old Bukit Merah spectre”, dan “Pahang regent back as top shareholder in firm building Lynas PDF”.

Tempat pertama bagi kategori itu dimenangi Daily Express untuk siri laporan meninjau semula nahas pesawat 1976 yang mengorbankan separuh daripada kabinet Sabah pada masa itu, dan akibat daripada tragedi itu.

Sementara itu, Malaysiakini turut memenangi tempat kedua dalam kategori ‘Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang – Petronas'

laporan tiga bahagian mengenai pergantungan Malaysia pada loji janakuasa arang batu.

Laporan-laporan itu ialah “Shedding Coal: The Good, The Bad, The Ugly of Malaysia’s Coal Power Industry”, “Power and money: Is Malaysia still banking on coal?”, dan “Power play: Who’s who in Malaysia’s coal energy business”.

Satu webinar juga telah diadakan pada 28 Okt tahun lepas untuk membincangkan masa depan tenaga di Malaysia.

Projek pelaporan itu dijalankan di bawah inisiatif Kini News Lab dengan kerjasama majalah Tempo Indonesia, Pusat Inisiatif Media dan Pembangunan, Tansa, The Australian Financial Review, dan Korea Center for Investigative Journalism (KCIJ)-Newstapa. Ia disokong oleh projek Asian Stories Institut Judith Neilson.

Tempat pertama kategori itu diberikan kepada Macaranga bagi laporan mengenai penebangan hutan.

Dalam kategori "Kewartawanan Multimedia Cemerlang", Malaysiakini memenangi tempat kedua untuk tiga laporan berbeza iaitu mengenai mangsa kematian dalam tahanan, pendedahan ratusan laman web kerajaan yang tidak selamat, dan tentang bagaimana perang maklumat berhubung protes antiekstradisi 2019-2020 di Hong Kong telah merebak ke Malaysia.

Tempat pertama bagi kategori itu dimenangi oleh The Star untuk ciri interaktifnya mengenai kesan pandemik Covid-19 terhadap kesihatan mental, kes berprofil tinggi kehilangan atau pembunuhan kanak-kanak, dan ibu bapa yang membesarkan anak autisme.

Malaysiakini dianugerahkan RM1,500 dan sijil bagi setiap kategori.

Pemenang tempat pertama dianugerahkan RM10,000, trofi, dan sijil, manakala pemenang tempat ketiga mendapat RM1,000 dan sijil.