Skip to main
Logo Malaysiakini

MT Umno ingatkan Ismail Sabri agar tak sewenangnya hapus subsidi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno mengingatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar tidak sewenang-wenangnya menarik balik subsidi yang diberikankepada rakyat.

“Subsidi-subsidi bersasar yang direncanakan kerajaan seharusnya benar-benar memanfaatkan kelompok rakyat terbanyak yang susah dan derita akibat kenaikan kos sara hidup.

"Ini termasuklah tidak sewenangnya menarik balik subsidi yang diberikan hanya kerana kelemahan aspek penguatkuasaan," kata Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dalam satu kenyataan selepas mesyuarat MT Umno malam tadi.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail Sabri ialah naib presiden Umno.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan mengumumkan hasrat untuk beralih daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar. Ini termasuklah menarik balik subsidi harga minyak masak dan petrol.

Pada 21 Jun lalu, kerajaan mengumumkan akan menghapuskan subsidi minyak masak kemasan botol dan menaikkan harga siling ayam dan telur, dengan minyak masak dalam paket 1kg akan terus diberi subsidi.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian, beberapa jam sebelum mesyuarat MT Umno, kerajaan mengumumkan tidak akan membenarkan pengapungan harga ayam sebaliknya akan menetapkan harga siling baru.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata MT Umno menyambut baik keputusan kerajaan menarik balik pengapungan harga ayam serta jaminan untuk tidak menaikkan tarif elektrik dan air.

Katanya, MT Umno juga menggesa kerajaan menangani kenaikan kos makanan secara holistik.

"Sebagai contoh dalam isu harga ayam, cadangan untuk mewujudkan Lembaga Unggas Negara wajar dipertimbangkan agar isu ayam dilihat secara menyeluruh dari aspek pengeluaran anak ayam, kos penternakan, kos dedak agar tidakmudah dimanipulasi oleh pihak kartel berkepentingan," tegas Ahmad.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad berkata Umno turut memutuskan jentera BN di semua peringkat perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Bagaimanapun, Ahmad berkata MT Umno menegaskan kembali tentang perlunya Akta Antilompat Parti dibentangkan segera di parlimen sebelum pilihan raya umum ke-15.

"Akta Pendanaan Politik juga perlu diwujudkan agar garis panduan yang jelas mengenai kewangan parti dapat diadakan," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengumumkan pelantikan Hizatul Isham Abdul Jalil, sebagai ahli majlis tertinggi Umno yang baru.

Isham yang merupakan bekas pembantu kepada bekas perdana menteri, Najib Razak menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang dipecat daripada MT Umno.