Skip to main
Logo Malaysiakini

Empat lagi parti di Sabah mahu sertai GRS - Hajiji

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Empat lagi parti tempatan di Sabah menyatakan hasrat untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama lima parti yang telah membentuk gabungan itu, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata permohonan daripada kesemua parti berkenaan akan dibincang dan dipertimbang dalam GRS sebelum membuat keputusan.

Bagaimanapun beliau tidak menamakan parti tersebut.

"Ini bermakna bahawa apa yang kita (GRS) lakukan selama ini sejak mendapat mandat rakyat (Pilihan Raya Negeri) telah memikat hati kawan-kawan lain daripada parti yang lain (mahu sertai GRS).

"Kalau tidak, mereka (parti) tidak akan memohon untuk sertai GRS, mungkin inilah yang dikehendaki oleh rakyat ingin melihat satu gabungan yang kuat untuk memerintah Sabah di masa akan datang," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama Armada Bersatu Sabah di Kota Kinabalu malam tadi.

Hajiji berkata GRS adalah parti yang sentiasa mahu mewujudkan keharmonian dalam kalangan parti komponen gabungan itu yang bersama-sama memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

GRS dianggotai lima parti iaitu Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), selain membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir kerajaan Sabah.

Sebelum ini dilaporkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) telah memohon menyertai GRS.

- Bernama