Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Tiba masanya Kuala Lumpur jadi negeri berdaulat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KATA MP | Baru-baru ini, telah berlakunya perbincangan berkenaan perkara yang melibatkan perpindahan sebuah negeri untuk menjadi sebuah negara. Banyak pandangan dan pendapat yang telah dilontarkan oleh pelbagai pihak.

Dalam masa yang sama, di sini wujudnya keperluan untuk kita menilai semula kewujudan wilayah-wilayah Persekutuan yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, khususnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Wilayah-wilayah ini digabungkan demi menyemarakkan semangat kekitaan di antara kawasan semenanjung dan Borneo.

Akan tetapi, pengurusan dan pentadbiran kawasan ini tidak berpaksikan kepada penduduk-penduduk kawasannya. Selain daripada pengundian ahli parlimen, penduduk di wilayah persekutuan ini tidak dapat memilih wakil tempatan mereka kerana pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan dilakukan secara eksklusif oleh kerajaan persekutuan.

Pada masa sama, pelantikan Datuk Bandar dan exco pengarah di Kuala Lumpur juga bergerak dengan cara yang sama.

Lim Lip Eng

Keadaan ini sudah terang menunjukkan Kuala Lumpur dikawal secara terus oleh kerajaan pusat.

Oleh yang demikian, adalah wajar status Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini dinilai semula sekiranya pihak kerajaan benar-benar mahu meraikan konsep demokrasi adil dan saksama.

Ibu kota Kuala Lumpur lengkap serba serbi dari segi ekonomi dan sosialnya, dan sudah tiba masanya untuk wilayah ini ditukar statusnya menjadi sebuah negeri berdaulat.

Dengan perubahan ini baru dapat mewujudkan sebuah sistem pentadbiran yang sama seperti Dewan Undangan Negeri Kuala Lumpur yang mana rakyat-rakyat di kawasan tersebut dapat memilih ahli DUN mereka tersendiri.

Melalui pemilihan seperti ini juga, seorang menteri besar dapat dilantik dan pimpinan beliau ini dapat mencerminkan kehendak dan kemahuan masyarakat Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur juga boleh dikekalkan pentadbirannya di bawah Yang Dipertuan Agong atau Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, merangkap Sultan asal kawasan ini.

Kuala Lumpur adalah antara wilayah yang paling banyak menyumbangkan kepada ekonomi negara. Jumlah penduduk di Kuala Lumpur juga lebih daripada sesetengah negeri. Sudah tiba masanya kuasa demokrasi mereka dihormati.

Sesebuah negeri itu hanya akan maju sekiranya rakyatnya diberikan kuasa untuk memilih secara sepenuhnya.


LIM LIP ENG ialah ahli parlimen Kepong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.