Skip to main
Logo Malaysiakini

Harga naik: 'Tanpa tekanan rakyat, kerajaan tak akan bertindak'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan yang dibiarkan mentadbir negara tanpa sebarang tekanan tidak akan bertindak untuk kepentingan rakyat, kata sekumpulan anggota Pemuda PKR yang hari ini mengadakan bantahan berhubung kenaikan mendadak harga barangan asas baru-baru ini.

Jurucakap kumpulan tersebut Danish Khairudin berkata, flashmob yang melibatkan kira-kira 12 anggota PKR Klang, Kapar dan Kota Raja bertujuan mencetuskan kesedaran terhadap ketidakupayaan kerajaan dalam menangani kenaikan harga.

"Ini adalah flashmob pertama kami di Selangor. Semalam ada flashmob di Pulau Pinang untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan orang ramai bersuara mengenai perkembangan semasa.

“Saya yakin gelombang ini akan bergerak apabila rakyat berada dalam tekanan yang hebat.

"Kita harus melihat ini sebagai tekanan positif daripada rakyat. Tanpa tekanan, kerajaan akan sentiasa leka," kata Danish yang juga setiausaha politik kepada Adun Sentosa, Gunaraj George.

Flashmob hari ini diadakan beberapa hari selepas Timbalan Ketua DAP Johor Sheikh Umar Ali menggesa perhimpunan jalanan berskala besar diadakan, yang kemudiannya mendapat teguran daripada Sultan Johor Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam gesaannya terhadap demonstrasi jalanan itu, Sheikh Umar berkata ia perlu dilakukan supaya kerajaan mempercepatkan usaha menangani peningkatan kos sara hidup.

Sultan Ibrahim bagaimanapun bertitah perhimpunan jalanan bukan cara bertanggungjawab dalam mencari "penyelesaian yang membina".

Hentikan permainan politik

Ketua Pemuda PKR Klang Mohd Shahril Adnan menggesa ahli politik yang memegang kuasa untuk menghentikan permainan politik dalaman mereka dan berkhidmat kepada rakyat, dipercayai merujuk kepada pertikaian antara Umno dan Bersatu.

“Rakyat sedang bergelut untuk mencatu makanan mereka sedangkan mereka (ahli politik) sibuk mengatur langkah mereka sendiri,” katanya.

Terdahulu, kumpulan berkenaan berkumpul di sepanjang kaki lima Majlis Bandaraya Klang, di mana mereka menaikkan sepanduk membantah kegagalan kerajaan menangani kenaikan harga barangan asas, terutamanya ayam dan minyak masak, yang terjejas akibat penarikan subsidi bermula 1 Julai.

Kenderaan yang lalu di kawasan tersebut turut membunyikan hon mereka sebagai tanda sokongan terhadap protes itu.

Flashmob itu berakhir dengan aman kira-kira tengah hari tadi, di bawah pengawasan daripada lebih daripada 10 orang anggota polis dari balai polis daerah Klang Selatan.