Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemecatan Tajuddin bukan 'pembersihan' parti - penganalisis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penganalisis politik melihat tindakan memecat Ketua Umno Bahagian Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bukanlah sebagai permulaan ‘pembersihan’ dalam parti itu.

Sebaliknya, pemecatan itu dianggap lebih kerana sifatnya yang sering menongkah arus, terutamanya kelantangan bersuara dan mengkritik presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Menyifatkan pemecatan itu sebagai strategi dua dalam satu oleh Umno, penganalisis politik Azmi Hassan memberitahu kepada Malaysiakini bahawa tindakan itu tiada kena mengena dengan pelantikannya sebagai duta ke Indonesia, tetapi Tajuddin dilihat sebagai duri dalam daging dalam Umno.

“Dalam hal ini, saya melihat pemecatan itu adalah penggunaan strategi Umno yang dikatakan menyelam sambil minum air, iaitu saya melihat Umno cuba menjauhkan diri dengan Tajuddin, lebih-lebih selepas dia akan ke Jakarta nanti,” katanya sambil menambah bahawa Umno merasakan pemergian Tajuddin ke Jakarta akan turut memberi manfaat kepada parti itu.

“Dalilnya adalah Umno tidak mahu ada kena mengena lagi dengan Tajuddin, terutamanya sekali dalam setiap keputusan MKT kerana Tajuddin itu dilihat sebagai liabiliti, bukan sahaja ahli Umno yang lihat Tajuddin sebagai liabiliti tapi lebih penting adalah orang luar Umno yang lihat Tajuddin itu sebagai liabiliti, terutama sekali tentang episod Tajuddin menjadi pengerusi prasarana,” katanya.

Azmi merujuk kepada cara Tajuddin mengendalikan insiden kemalangan LRT pada tahun lalu, sehingga dia dipecat sebagai pengerusi Prasarana tidak lama selepas itu.

Zahid sebelum ini mengumumkan Tajuddin digugurkan sebagai ahli MKT Umno kerana melanggar keputusan parti.

Bagaimanapun, Zahid tidak menyatakan kesalahan yang dilakukan Tajuddin secara spesifik. Dia sebaliknya meminta pemberita bertanya sendiri kepada ahli parlimen Pasir Salak itu.

Tajuddin dimaklumkan mengenai keputusan itu dalam surat bertarikh 21 Jun, yang ditandatangani Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Tajuddin ‘sasaran mudah’ Umno

Azmi berkata tindakan itu dibuat lebih kepada faktor Tajuddin sebagai sasaran mudah Umno yang secara terbuka dan tertutup mengkritik presiden parti.

Antaranya, ketika Perhimpunan Agung Umno Mac lalu, Tajuddin mempertikaikan terdapat pemimpin parti yang seolah-olah terkejut dengan kewujudan cai tertentu dalam Umno, memandangkan ia bukanlah satu perkara yang asing.

Sebelum ini, Malaysiakini turut melaporkan bahawa Tajuddin yang ‘meminta jaminan’ berhubung keputusan MKT Umno menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15, meskipun barisan kepimpinan tertinggi Umno telah sebulat suara menyokong keputusan memilih Ismail sebagai 'poster boy' BN.

“Saya menganggap dia (Tajuddin) sebagai soft target - sasaran mudah kerana dia adalah liabiliti.

“Manakala menteri-menteri Kabinet yang lain seperti (Menteri Komunikasi dan Multimedia) Annuar Musa, (Menteri Kesihatan) Khairy Jamaluddin, sekalipun mereka bukan dalam MKT, tapi sukar untuk menyisihkan mereka kerana kedua-dua mereka ni tidak mempunyai jawatan (dalam MKT), kecuali Annuar yang telah digugurkan daripada setiausaha agung BN.

“Tapi bagi saya Tajuddin itu adalah sasaran mudah dan ia tidak akan melarat kepada pemimpin-pemimpin lain yang dikatakan tidak selari dengan pemikiran MKT itu sendiri,” katanya.

Untuk rekod, selain Tajuddin, Khairy juga pernah menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap Zahid, dengan mengatakan bahawa dia mempunyai masalah kepercayaan terhadap ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Mohd Azizuddin Mohd Sani

Kes terpencil

Sementara itu, penganalisis politik Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata tindakan menggugurkan nama Tajuddin dalam MKT tidak akan menjurus kepada perpecahan parti itu.

Namun, Azizuddin berkata ia hanya akan mencetuskan kemarahan terhadap penyokongnya, terutamanya di bahagian Umno Pasir Salak kerana seolah-olah memecat pemimpin mereka begitu sahaja.

“Takkan pecat ramai sebab ia akan beri kesan kepada presiden…lagi satu, waktu sekarang ni tak sesuai nak berpecah sebab akan melemahkan BN. Itu yang saya nampak.

“Setakat ni, bagi saya ia kes yang terpencil sebab dia seorang yang sangat lantang mengkritik presiden parti kepada luar dan media,” katanya.

Tajuddin merupakan satu-satunya ahli majlis tertinggi dilantik yang disingkirkan setakat ini.

Ini adalah kali kedua dia digugurkan sebagai ahli MKT.

Dalam perkembangan terbaru semalam, bekas ketua penerangan BN Selangor Isham Jalis dilantik menganggotai MKT, sekali gus menggantikan tempat Tajuddin.