PN bincang rancangan PAS guna logo sendiri pada PRU15
Perikatan Nasional (PN) sedang membincangkan rancangan PAS menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata langkah itu merupakan antara strategi yang dipertimbangkan.
"Perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi dalam PN… hasil perbincangan tersebut akan diumum kemudian," katanya seperti dilapor Bernama.
Semalam, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dilapor memberi bayangan bahawa parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRU15.
Hashim berkata imej bulan yang terdapat pada logo PAS dilambangkan sebagai bersih dan pihaknya yakin ia mampu memberi kelebihan kemenangan kepada calon parti itu kelak.
Katanya penggunaan logo itu dijangka memberi kelebihan kepada calon untuk menang kerana ia sudah dikenali sejak 70 tahun lepas.
Sementara itu, Hamzah enggan mengulas tindakan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang menawarkan kerusi Parlimen Pasir Salak kepada Tajuddin Abdul Rahman pada PRU15 selepas pemimpin Umno itu digugurkan daripada Majlis Tertinggi Umno.
"Semua orang boleh buat pandangan atau membuat tawaran begitu dan saya kira itu hanyalah sekadar cadangan.
"Segala keputusan muktamad terletak kepada pucuk pimpinan, jadi saya tidak perlu membuat ulasan lanjut tentang perkara itu," katanya.
Menyentuh laporan bahawa PAS mahu mempercepat PRU15, beliau berkata ia boleh diadakan sekiranya semua pihak termasuk rakyat sudah bersedia.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai