Skip to main
Logo Malaysiakini

USM siasat dakwaan soalan periksa fakulti perubatan bocor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang akan menyiasat dakwaan isu integriti membabitkan fakulti perubatan di institusi pengajian tinggi awam itu.

Naib Canselor USM Prof Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata satu jawatankuasa khas terdiri daripada pakar luar telah dibentuk untuk meneliti proses peperiksaan bagi setiap calon.

“Jawatankuasa itu dianggotai pakar dan profesional dalam bidang berkenaan, datang daripada pelbagai institusi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Terdahulu, bekas profesor universiti itu, Omar Shawkataly pada Selasa lalu menggesa USM menyiasat dakwaan pelanggaran integriti di fakulti perubatan USM.

Naib Canselor USM Prof Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Ini selepas seorang pelajar perubatan pasca siswazah mengadu mengenai sikap pilih kasih, buli, diskriminasi dan kebocoran soalan peperiksaan oleh pensyarah kepada pelajar kegemarannya.

Sementara itu, Faisal Rafiq berkata jawatankuasa itu ditubuhkan hasil aduan yang dibuat oleh calon sarjana dalam program perubatan USM.

Menurutnya aduan itu berkenaan sistem penilaian tidak adil yang menyebabkan calon gagal dalam peperiksaan.

Dia berkata pihak universiti telah menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara ini dan mendapati sistem peperiksaan itu dikawal dengan prosedur yang ketat, oleh pakar luar dan bukan pensyarah tunggal.

Demi jaga nama baik

“Susulan pengumuman keputusan peperiksaan, calon akan dimaklumkan untuk mereka memberikan maklum balas berhubung komponen peperiksaan yang memerlukan semakan jika ada.

“Namun, demi menjaga integriti dan menjaga nama baik universiti, USM malah telah menubuhkan jawatankuasa luar untuk benar-benar memastikan sistem dan proses kedua-duanya benar-benar tegak, dan dijalankan dengan integriti dan kredibiliti.

"Perkara ini juga perlu diteliti, bagi meyakinkan semua pihak bahawa universiti sentiasa menjunjung proses dan sistem peperiksaan serta memastikan mereka menyampaikan tahap kepakaran dan profesionalisme yang dituntut dalam bidang tersebut," kata Faisal Rafiq.

Jawatankuasa itu akan memberikan laporan kepada universiti secepat mungkin, tambahnya.

[Baca berita asal]