'Pengalaman warga China di tahanan imigresen tak berperikemanusiaan'
Pengalaman pahit lima warga China yang didakwa berlaku di pusat tahanan imigresen selama berbulan-bulan mencabul maruah asasi manusia, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.
Katanya, walaupun penjara dan pusat tahanan bertujuan untuk menyekat kebebasan bergerak, ia tidak dimaksudkan untuk menjadi tempat penyeksaan dan penderaan.
"Tiada individu yang ditahan, tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang, tidak harus tertakluk kepada keadaan yang mengganggu perasaan itu," katanya kepada Malaysiakini.
Bekas naib presiden PKR itu mengulas laporan portal berita ini yang memperincikan pengalaman sekumpulan warga China yang cuba melarikan diri dari keadaan kerja menindas di Indonesia, dan memasuki Malaysia tanpa dokumen dalam usaha mereka kembali ke China.
Bekas tahanan - yang kembali ke China - berkata keadaan tidak bersih menyebabkan mereka menghidap penyakit kulit seperti ekzema dan pustula.
Mereka mengatakan tahanan lain turut mengalami penyakit kulit seperti, ulser dan bisul di seluruh tubuh.
Mereka berlima juga memperincikan dakwaan rasuah dan eksploitasi, dengan panggilan telefon dan barangan - seperti sabun, dan makanan sedap - boleh diperolehi tetapi pada harga yang terlalu tinggi melalui pegawai imigresen.
Nurul Izzah berkata keadaan tidak bersih dan salah guna kuasa yang diperincikan itu jika benar tidak boleh diterima.
"Keadaan sedemikian merupakan pencabulan maruah asas manusia, dan bertentangan dengan peraturan Nelson Mandela - suatu piawaian asas penjara yang perlu dipatuhi untuk memastikan orang di penjara dilayan dengan bermaruah dan dihormati.
"Dalam kes seperti ini saya sentiasa berpegang pada petikan berikut oleh Mandela, 'Sesebuah negara tidak harus dinilai berdasarkan cara ia melayan warganya yang berada di tingkatan darjat paling atas, tetapi rakyatnya yang berdarjat paling rendah'," katanya.
Peraturan Nelson Mandela ialah nama popular Peraturan Minimum Standard PBB untuk Tahanan - sebagai penghormatan kepada pemimpin Afrika Selatan yang menghabiskan pemenjaraan selama 27 tahun kerana menentang sistem apatheid di negara itu.
Ia satu set 122 peraturan yang memberi panduan tentang semua aspek pengurusan penjara, termasuklah melarang penyeksaan dan memastikan penjagaan kesihatan serta semua kakitangan penjara mendapat latihan yang betul.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai