Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Retorik bahasa dan DBP 65 tahun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Sudah lebih setengah tahun berlalu sejak seorang menteri berucap menggunakan bahasa Melayu di Scotland dan dengan pantas dipuji-puji oleh sesetengah jenis orang yang kita tahu maksudnya.

Padahal ia kira-kira sama dengan perbuatan berlunjur sebelum duduk saja.

Apabila dikisahkan bahawa menteri terbabit berbahasa Melayu tanpa disediakan penterjemah, terkedulah kita beramai-ramai untuk seketika sebelum kemudian berbuat seperti tidak ada apa-apa.

Bangsa yang sudah sangat kurang malu dan maruahnya, memang begitulah.

Hari ini juga hari yang lebih sedikit dari sebulan selepas Ismail Sabri Yaakob berucap dengan secara khusus menyentuh isu bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kata perdana menteri rakyat Malaysia perlu memiliki jati diri untuk memartabatkan bahasa Melayu dan membuktikan bahasa ibunda itu tidak mengekang kemajuan negara.

Dan menggunakan hujah amat klise - dan sudah ke tahap yang amat membosankan - Ismail Sabri memberitahu kita sesuatu yang kita semua tahu: banyak negara mencapai kemajuan dengan mengutamakan bahasa sendiri.

Hujah yang memualkan

Untuk lebih menarik, DBP sudah berusia lebih sedikit daripada 65 tahun hari ini. Ia sebuah lembaga yang banyak berjasa membina bangsa dan negara ini sebelum ia perlahan-lahan menjadi pikun hingga hanyut dalam arus.

Adalah sekali dua ia dikenang dan disebut orang. Mungkin ia berlaku ketika DBP sesekali tersangkut di akar-akar pokok yang ada di tepi sungai yang menghanyutkannya.

Apabila disebut dan diwangikan oleh perdana menteri baru-baru ini, misalnya.

Ketika orang Sarawak mahukan nama jawatan ketua kerajaan mereka digantikan daripada ketua menteri kepada primier, tidak banyak yang dapat kita dengar dari pejabat di menara yang tinggi di Jalan Dewan Bahasa itu. Yang ada, pujian berlunjur sebelum duduk sesetengah orang kepada kehendak kerajaan Sarawak itulah.

Gambar fail, DUN Sarawak di Kuching.

Mendesak agar bahasa Melayu diangkat dan dihormati dengan mengemukakan hujah betapa semakin banyak bahasa asing dijadikan nama tempat seperti presint dan enklaf juga sudah semakin membosankan.

Ulanglah hujah itu, tetapi tidak ada apa-apa pun yang berlaku.

Kita jadi pemalas dan penafi kerana enggan melihat kepada bukti yang lebih besar. Lihatlah bagaimana selepas lebih 60 tahun kita masih bersikukuh bahawa bahasa aspek perundangan, jika ada pertikaian makna/takrif, penjelasan muktamad tetap perlu ada kepada bahasa Inggeris!

Sedangkan bidang perundangan adalah asas kepada pembentukan negara dan masyarakat yang sangat penting. Ia menyangkut secara langsung dengan bidang legislatif sekali gus eksekutif.

Dan kita mendabik dada mahu mengangkat martabat bahasa Melayu? Malulah kepada tong-tong sampah yang ada di tepi-tepi jalan itu.

Pada masa sama, ketika kita terus tenggelam dan dilemaskan oleh kenangan silam, bahasa Melayu itu sebenarnya sudah lama menjadi bahan dagangan kapitalis.

Menganggur menjelang raya

Untuk kawasan tertentu - biasanya bertaraf mewah - bahasa Melayu digunakan sebagai komoditi. Justeru kita melihat nama-nama seperti Seri Senja, Danau Desa, Puncak Kayangan, Seri Seekar dan seumpamanya dijadikan daya penarik pembeli.

Ia adalah nama-nama yang biasa pada suatu ketika dulu tetapi kini menjadi 'mahal' oleh perubahan masa. Itu bukanlah masalahnya. Masalah sebenar ialah, apabila istilah/perkataan biasa terasa 'mahal' maka maksudnya ia sudah semakin dilupakan, dan kian langka.

Di pihak 'orang kita' pula, apa yang dijadikan komoditi?

Ya, malangnya kita menggunakan sentimen Melayu dan bahasa Melayu untuk mencipta perniagaan. Mengasingkan urusan menerbit dan mencetak buku sekolah, misalnya. Dan apabila gagal, kita pun membiarkan pekerja - yang mungkin semuanya Melayu - menjadi penganggur dengan tanpa gaji beberapa hari menjelang Aidilfitri!

Siapa yang melakukannya? Orang Melayu itu sendirilah.

Untuk makluman, pulasan ini mula difikir-fikirkan apabila saya terbaca hantaran Sinaganaga - dan kemudian hantaran Sabri Yunus - tentang DBP di Facebook pada 18 Jun lalu.

Semua langkah dari atas

Mereka menyebut beberapa nama besar yang pernah menjadi kebanggaan ramai. Misalnya Keris Mas, Usman Awang, Baha Zain, Noor Azam, Johan Jaaffar ,Sutung Umar RS dan lain-lain. Juga Mohas, Sabri sendiri, Othman Hj Zainuddin dan lain-lain.

Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan ini mesti dilakukan dengan serius dan tegas oleh - malangnya - kerajaan terlebih dulu. Kerana budaya di negara ini ialah, hampir semua langkah besar mesti dimulakan dari atas. Barangkali ia sejenis sumpahan atas dosa yang entah apa pernah kita lakukan.

Ia ada kaitan dengan keghairahan kita berlunjur sebelum duduk yang saya katakan tadi. Ia adalah kata-kata lain untuk budaya membodek serta menjilat yang terus menebal dalam jiwa kita. Bodek dan jilat selagi boleh.

Dan lihatlah bagaimana "kerajaan" menyuburkan bahasa Melayu. Berucap dalam bahasa Melayu kerana kita yakin dia tidak mahir berbahasa Inggeris, misalnya.

Kita sudah ada apa yang diistilahkan sebagai keaiban negara. DBP serta bahasa Melayu tidak perlu dikorbankan sebagai satu lagi bahan untuk menambah bilangan keaiban negara itu.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selalu loya melihat - misalnya - bagaimana pihak berkuasa tempatan melayan bahasa Melayu dari dalam bilik berhawa dingin.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.