Skip to main
Logo Malaysiakini

Cucu mahu 'bersihkan' nama Harun Idris

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sepanjang dua dekad pertama selepas Malaya mncapai kemerdekaannya, sebahagian besar ahli politik yang ditangkap adalah mereka daripada Barisan Sosialis pembangkang. Ini disebabkan oleh motif politik ketika Umno memperhebatkan cengkaman kuasanya secara beransur-ansur.

Bagaimanapun, tokoh paling menonjol yang dipenjarakan - tidak lain tidak bukan - ialah bekas menteri besar Selangor, Harun Idris (1925-2003), yang dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan rasuah pada 1977.

Nama Harun telah pun dicemari dan dikaitkan dengan rusuhan kaum Mei 1969 yang bermula di kawasan perumahannya dan dia juga terlibat dalam dua pertuduhan berasingan menyalahgunakan dana bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin politik.

Di sebalik apa yang berlaku, cucunya, Dr Ashaari Azman Shah sedang berusaha untuk mencuba membuat penilaian semula terhadap reputasi Harun.

Dr Ashaari Azman Shah

Dia telah berjumpa dengan ramai tokoh yang mengenali Harun semasa era MB Selangor itu yang juga seorang tokoh pemimpin sukan tanah air yang terkemuka.

Walaupun keterangan mereka ini memberi gambaran lebih jelas tentang keperibadian Harun yang agak kompleks itu, namun tidak ada bukti kukuh yang muncul untuk membersihkan namanya, seperti yang diharapkan olehnya.

Menurut Dr Ashaari, yang merupakan seorang doktor perubatan, arwah datuknya menyimpan satu set diari bermula tahun 1977 sehingga 1981. Ia merangkumi kemuncak perbicaraan rasuahnya dan tempohnya menjalani hukuman di Penjara Pudu.

“Dia menulis bahawa dia berharap satu hari nanti keturunannya akan bertindak membersihkan namanya.

"Saya tidak pasti ini akan berlaku tetapi saya hanya boleh mencuba dan percaya kepada Tuhan dan kebijaksanaan-Nya," kata Dr Ashaari kepada Malaysiakini dalam satu wawancara.

Dia percaya bahawa beberapa kebenaran tentang datuknya telah diputarbelitkan.

"Jika kamu bercakap dengan mereka yang mengenalinya dengan rapat, mereka lazimnya akan bercakap tentang kebaikannya. Satu petikan yang saya suka ialah dia 'terlalu memandang jauh ke depan'.

“Dia bijak, seorang pentadbir berwawasan, cekap, mesra, baik dan ramah.

“Dia mungkin tidak meninggalkan sebarang bangunan pencakar langit tinggi yang menghiasi Kuala Lumpur tetapi saya rasa antara legasinya dirakamkan melalui PKNS, yang membantu membina rumah mampu milik (masih sehingga hari ini), dan Yayasan Selangor, yang kini mempunyai 20,000 alumni.

“Melalui PKNS, Shah Alam dibangunkan bersama-sama kawasan hijau di beberapa kawasan, kebanyakannya dibangunkan selepas dia disingkirkan sebagai MB dan sehingga menyebabkan bencana seperti banjir yang melanda KL dan Selangor sekarang,” kata Dr Ashaari.

Dia berkata Harun secara meluas dianggap sebagai pemimpin Pemuda Umno paling berpengaruh yang selalunya mengkritik dasar kerajaan pada masa itu dan dia juga dituduh cuba mewujudkan "parti dalam parti".

“Dia juga adalah pengurus bola sepak terbaik Malaysia dan Selangor, turut terlibat dalam sukan berbasikal, golf dan membawa Muhammad Ali bertanding di KL pada 1975, maka sekurang-kurangnya dia seorang tokoh yang menarik dalam sejarah Malaysia.

“Malangnya, banyak kisah-kisahnya telah lenyap. Pendapat peribadi saya ialah ini sengaja dilakukan kerana politik dalaman Umno antara Harun dan (perdana menteri kedua) Abdul Razak (Hussein),” dakwanya.

Dr Ashaari berkata bahawa banyak perkara kebaikan baik yang dilakukan Harun telah diketepikan atau dilenyapkan.

"Lihat sahaja (kejayaan) pasukan bola sepak Olimpik negara pada 1972, yang seolah-olah diabaikan, sebaliknya, mereka membuat filem 'Ola Bola' mengenai pasukan 1980 yang tidak pergi ke Sukan Olimpik pun," katanya.

Dr Ashaari adalah anak kepada anak lelaki bongsu Harun, Azman Shah Harun, dan dilatih sebagai seorang doktor perubatan di luar bandar Malaysia. Dia menegaskan bahawa dirinya adalah separuh Cina.

“Saya menjalani housemanship (doktor pelatih) di Hospital Ampang dari 2014-2016, kemudian ditempatkan di klinik kesihatan Kemayan di Bera, Pahang, - saya jadi pegawai perubatan di sana selama kira-kira 1.5 tahun.

“Saya kemudiannya dipindahkan ke klinik kesihatan Tanjung Karang (kebetulan SMK Dato Harun terletak bertentangan) tetapi kemudian membuat keputusan untuk memohon bekerja dan berlatih di England,” jelasnya.

Dia kini dalam latihan untuk menjadi pakar perubatan keluarga dan sedang dalam giliran Kesihatan Awam yang mengusahakan projek yang berkaitan dengan penyakit tidak berjangkit dan kesihatan mental awam.

Namun begitu, Dr Ashaari kekal sebagai penuntut sejarah yang tegar dan telah menjalankan lebih 30 temu bual dalam penyelidikannya.

Antara yang bercakap dengannya ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam, bekas KPN Hanif Omar dan pemimpin lain seperti Daim Zainuddin dan Lim Kit Siang.

Dia juga berjumpa dengan veteran dalam bidang undang-undang, seperti VC George, Mahadev Shankar dan Gopal Sri Ram, wartawan seperti R Nadeswaran dan pemain bola sepak Soh Chin Aun dan Santokh Singh untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang Harun.

[Baca berita penuh]