Skip to main
Logo Malaysiakini

Puad tempelak Annuar - Kamu sendiri pun pernah digugurkan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mohd Puad Zakarshi hari ini menempelak kenyataan Pengerusi Umno Ketereh Annuar Musa yang mendakwa pemecatan ahli Majlis Tertinggi (MKT) yang dilantik jarang dilakukan oleh mana-mana presiden Umno.

Mengulas kenyataan Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia, ahli MKT itu berkata dakwaan bahawa pemecatan tidak diamalkan semasa era Dr Mahathir Mohamad menerajui Umno adalah tidak tepat.

“Siapa kata Mahathir tidak pernah pecat orang?

“Anwar Ibrahim dipecat sampai hilang jawatan timbalan presiden. Annuar membisu bila Muhyiddin (Yassin) pecat Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi Prasarana,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, kenyataan Annuar bahawa penyingkiran Tajuddin daripada MKT Umno boleh mencetuskan krisis dalaman parti adalah tidak berasas.

“Annuar Musa (sendiri) pernah digugurkan sebagai ketua penerangan. Itu juga berlaku kepada Ahmad Maslan dan Shamsul Nasarah. Tidak timbul pun krisis dalam parti,” kata Puad.

Menurutnya, Tajuddin adalah ahli majlis yang dilantik dan dia boleh digantikan oleh presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

“”Tajuddin MKT dilantik. Dia digugurkan untuk diganti oleh orang lain. Takkan itu pun Annuar Musa tidak faham.

“Annuar cuba menghasut dengan mengatakan tindakan terhadap Tajuddin berisiko cetuskan krisis dalam parti.

“Krisis boleh berlaku bila ada tukang kipas dan batu api yang mengapikannya. Menggugurkan orang yang dilantik dan diganti dengan orang lain adalah normal,” kata Puad.

Zahid memecat Tajuddin daripada majlis tertinggi pada 21 Jun atas sebab yang tidak dinyatakan. Tajuddin dilantik menyertai MKT Umno pada 2018.

Mengulas kejadian itu, Annuar yang tidak menganggotai MKT Umno mendakwa tindakan itu akan menyebabkan parti ke arah krisis dan perpecahan.

Katanya, walaupun presiden parti mempunyai prerogatif dalam memutuskan pelantikan, penyingkiran amat jarang berlaku.

Annuar juga menjangkakan lebih ramai ahli MKT akan disingkirkan.