'Pemimpin Umno patut malu bergaduh hal dalaman cara terbuka'
Pemimpin Umno yang bertikam lidah di media sosial berhubung konflik dalaman parti sepatutnya berasa malu kerana bertelagah secara terbuka, kata Ketua Bersatu Bahagian Tanjong Mohamad Kamal Fairos Mohamad Ibrahim.
Jelasnya, apalagi pertelingkahan kuasa politik sesama pemimpin Umno itu berlaku di tengah-tengah rakyat sedang menderita dengan kenaikan kos sara hidup.
“Pemimpin Umno yang bertelagah dalam media massa mengenai siapa telah disingkir, siapa yang bakal disingkir, siapa yang perlu disingkir, atau siapa yang jangan disingkir, sepatutnya malu kerana menggunakan platform terbuka untuk berdebat hal dalaman, dalam waktu rakyat sedang bergelut dengan cabaran kenaikan kos sara hidup.
“Pemimpin Umno sebegini adalah kumpulan yang tidak berpijak di bumi nyata dan terpisah dari isu-isu rakyat.
“Kalau mahu membogelkan parti di khalayak ramai sekali pun, belajarlah berbahas dalam group Telegram atau Whatsapp sesama ahli parti,” sindirnya pada satu kenyataan hari ini.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memecat Tajuddin Abdul Rahman daripada majlis tertinggi pada 21 Jun atas sebab yang tidak dinyatakan.
Tajuddin (gambar, bawah) dilantik menyertai MKT Umno pada 2018.
Pada 24 Jun, Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa, yang tidak menganggotai MKT Umno mendakwa tindakan itu akan menjuruskan parti ke arah krisis dan perpecahan.
Menteri komunikasi dan multimedia itu juga menjangkakan lebih ramai ahli MKT akan disingkirkan.
Bagaimanapun, Ahli MKT Umno Mohd Puad Zarkashi hari ini menempelak kenyataan Annuar yang mendakwa pemecatan ahli MKT yang dilantik jarang dilakukan oleh mana-mana presiden Umno.
“Annuar Musa (sendiri) pernah digugurkan sebagai ketua penerangan. Itu juga berlaku kepada Ahmad Maslan dan Shamsul Nasarah. Tidak timbul pun krisis dalam parti,” kata Puad.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai