Skip to main
Logo Malaysiakini

Lagi pemimpin Umno bidas Annuar Musa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Shamsul Anuar Nasarah membidas pemimpin parti yang menimbulkan suasana tidak tenteram dalam parti, dengan membuat andaian tanpa asas yang kukuh dan tepat.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas kenyataanya merujuk kepada tindakan Pengerusi Umno Ketereh Annuar Musa yang mendakwa Umno menuju ke arah krisis dan perpecahan susulan pemecatan Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli MKT.

“Kita mesti menjadi ahli dan pemimpin parti yang bertanggungjawab. Dan jika kita mahu orang menghormati kita, maka kita juga mesti menghormati orang lain.

“Umno parti yang sudah begitu lama di negara ini. Kekuatan dan imej parti bergantung kepada kita. Tidak perlu kita lakukan sesuatu yang merosakkan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Shamsul, sebagai ahli dan pemimpin tanpa mengira kedudukan, adalah wajib bagi setiap ahli menjaga parti Umno.

Justeru, dia menasihatkan Annuar yang juga adalah menteri komunikasi dan multimedia, supaya usah menimbulkan suasana tidak tenteram dalam parti.

“Usahlah kita sengaja menimbulkan suasana tidak tenteram dalam parti sendiri, dengan membuat andaian tanpa asas yang kukuh dan tepat,” katanya.

Selain mendakwa bahawa penyingkiran Tajuddin daripada MKT Umno boleh mencetuskan krisis dalaman parti adalah tidak berasa, Annuar juga dilaporkan berkata, dia menjangkakan lebih ramai ahli MKT akan disingkirkan.

Bekas setiausaha agung Umno itu bagaimanapun tidak memperincikannya.

Sebelum ini, seorang lagi ahli MKT Umno, Mohd Puad Zakarshi juga menempelak Annuar yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.

Sementara itu, Berita Harian Online memetik Bendahari Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor, sebagai berkata tidak benar spekulasi berhubung perpecahan dalam parti tersebut.

"Tak benar spekulasi macam-macam yang bertebaran di luar.

“Apa-apa keputusan hanya akan keluar secara rasmi dan janganlah percaya pada manipulasi pihak tertentu yang sengaja nak pecah-belahkan kesepakatan dalam Umno.

"Ingatlah dahulu kita tumbang kerana fitnah dan macam-macam spekulasi yang bertebaran," katanya.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan sikap dan pendirian Tajuddin yang bercanggah dengan parti antara punca ahli parlimen Pasir Salak itu digugurkan.

Susulan pengguguran itu, timbul pelbagai spekulasi mendakwa Umno semakin retak berikutan berlaku perpecahan dalaman sehingga wujud persepsi ada dua kumpulan dominan yang ingin menguasai parti itu.