Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin: Cadangan Loke pilihan raya serentak di negeri PH wajar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Cadangan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke untuk agar pilihan raya di negeri ditadbir PH diadakan serentak jika Parlimen dibubarkan selepas November adalah wajar, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata Loke memberi pandangan yang baik mengenai jangka masa yang singkat sebelum tamat penggal tamat, jika Parlimen dibubarkan selepas November tahun ini.

"Berdasarkan rasional itu, adalah munasabah untuk membincangkan dan memutuskan cadangan Loke dalam majlis presiden PH.

"Negeri PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini bersetuju untuk tidak membubarkan DUN sekiranya perdana menteri bercadang untuk membubarkan Parlimen awal bagi memberi laluan kepada PRU15... supaya kita boleh fokus membantu rakyat pulih daripada kesan Covid-19 kepada ekonomi dan kehidupan rakyat," kata Saifuddin ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Loke berkata dia akan mencadangkan perkara itu kepada kepada majlis presiden PH.

Bagi Loke, jika jurang masa antara PRU dan pilihan raya di negeri ditadbir PH terlalu kecil, kemungkinan ada beberapa perkara yang tidak berpihak kepada mereka.

"Jika pilihan raya dibuat berasingan dan (perbezaan) tempoh masa tidak lama, mungkin ada pengundi rasa kita bazirkan sumber.

"Peratusan keluar mengundi juga mungkin tidak setinggi yang kita lihat di Johor dan Melaka," katanya.

Pada Julai tahun lalu, majlis presiden PH mengumumkan bahawa negeri yang ditadbir oleh gabungan itu tidak akan membubarkan DUN mereka jika pilihan raya umum mengejut diadakan.

Pada masa itu, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin berdepan krisis kestabilan dan pilihan raya umum dicadangkan sebagai penyelesaian.

Kini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga berdepan tekanan daripada kepimpinan partinya, Umno untuk menyegerakan pilihan raya.