Adakah kerajaan Ismail Sabri takut dengan Tik Tok?
Pengerusi Biro Media Sosial DAP, Syahredzan Johan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang “mengheret” bekas Senator Siti Aishah Shaik Ismail, ke balai polis Sungai Senam di Ipoh untuk diambil keterangan berkaitan video tular di TikTok mengenai penghapusan isu subsidi baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media, Syahredzan berkata tindakan tersebut boleh dianggap sebagai tidak berkadar (disproportionate) terhadap seseorang yang hanya membuat video TikTok mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Tidak ada sebab mengapa tindakan seperti ini, yang boleh dianggap tidak berkadar (disproportionate), perlu diambil ke atas seseorang yang hanya membuat video TikTok mengkritik kerajaan.
“Adakah tindakan yang diambil terhadap Siti Aishah disebabkan video TikTok itu telah menjadi begitu tular, sehingga menyebabkan ada pihak yang rasa tidak senang dengan video tersebut?
“Ia menimbulkan persoalan sama ada kerajaan kini merasakan bahawa video TikTok boleh mengancam kedudukan mereka, sehingga perlu mengambil tindakan sedemikian. Adakah kerajaan kini takut dengan video TikTok?” soalnya.
Syahredzan berkata kerajaan sepatutnya menyedari bahawa isu subsidi dan harga barang yang menjadi asas kepada video tersebut adalah isu yang telah membelenggu rakyat untuk sekian lama.
“Inilah sebab mengapa video tersebut telah mendapat 2.5 juta tontonan, lebih 142,000 sukaan (likes) dan lebih 43,000 kongsian (shares),” katanya.
Sehubungan itu, Syahredzan yang juga seorang peguam menggesa kerajaan supaya memberi ruang kepada suara-suara menentang dan menjunjung hak untuk bersuara serta memberikan pendapat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan bungkam suara yang tidak sehaluan dengan kerajaan!” katanya lagi
Pada 21 Jun lalu, kerajaan mengumumkan bahawa subsidi untuk ayam, telur ayam, dan produk minyak masak sawit tertentu akan dihentikan mulai 1 Julai.
Bagimanapun subsidi untuk minyak masak sawit yang dijual dalam kampit plastik 1kg akan diteruskan, ulang perdana menteri dalam pengumuman secara langsung di televisyen sehari berikutnya bagi meredakan keberangan orang ramai.
Ismail Sabri juga mengumumkan tambahan RM100 untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
Susulan tiga hari kemudian, pada 24 Jun, kerajaan turut membatalkan keputusannya untuk menghapuskan harga siling ayam mulai 1 Julai dan berkata harga baru akan diumumkan tidak lama lagi, dengan alasan mengambil kira maklum balas orang ramai terhadap rancangan mengapungkan harga ayam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai