Skip to main
Logo Malaysiakini

'Lamaran' buat Tajuddin buat PAS Perak nampak naif - Amanah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tindakan PAS Perak menawarkan kerusi Pasir Salak kepada Tajuddin Abdul Rahman jika tokoh Umno terbabit tersingkir dari partinya bukan saja nampak naif, malah merugikan PAS.

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Muhaimin Sulam, berkata tindakan tersebut juga secara tidak langsung menunjukkan PAS memang ketandusan pemimpin untuk diketengahkan di Perak.

"Bukan sahaja ia merugikan politik PAS sebaliknya menambah kenaifan parti itu membawa gagasan politik mereka.

"Ia juga seperti menafikan kemampuan kepimpinan PAS sendiri," katanya.

Muhaimin yang juga nain pengerusi Amanah Perak mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang menawarkan Tajuddin bertanding melalui tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU akan datang.

Kata Razman, Tajuddin boleh mewakili PN jika kerusi Pasir Salak diperuntukkan kepada PAS bagi mewakili PN dalam PRU nanti.

Nama Tajuddin menjadi sebutan ramai sejak semalam selepas dia membuat beberapa dakwaan serius membabitkan beberapa pemimpin kanan partinya, termasuk Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Mohamed Khaled Nordin.

Ahmad Zahid ialah presiden Umno manakala Mohamad dan Khaled masing-masing timbalan presiden dan naib presiden.

Langkah tersebut membuka kemungkinan Tajuddin dikenakan tindakan termasuk disingkirkan dari Umno atau sekurang-kurangnya tidak lagi dicalonkan oleh Umno-BN.

Memberikan reaksi kepada tawaran tersebut, Tajuddin menganggapnya sebagai sesuatu yang boleh dipertimbangkan.

Semalam juga Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengalu-alukan Tajuddin jika ahli parlimen Pasir Salak itu berminat menjadi ahli parti berkenaan.

Kata Muhaimin sejak sekian lama kawasan Pasir Salak - atau nama lamanya Hilir Perak - memang merupakan kubu kuat Umno dan pernah melahirkan ramai tokoh yang terkenal.

Mereka termasuk Allahyarham Megat Junid Megat Ayub dan Ramli Ngah Talib.

Ketokohan mereka itu katanya gagal menandingi pemimpin PAS yang pernah dipertaruhkan di kerusi tersebut termasuk seperti Allahyarham Hassan Adli Mohd Arshad.

"Tajuddin bukanlah seorang tokoh yang perlu dikaitkan dengan perjuangan PAS. Jauh panggang dari api.

"Atau sebenarnya sejak berlakunya Langkah Sheraton PAS Perak sudah rela menggadaikan prinsipnya demi terus merangkul kuasa?" katanya.