5 sekeluarga maut kereta bertembung lori treler
Lima sekeluarga termasuk seorang bayi meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori treler petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu, berkata kejadian berlaku dekat Kampung Pulau Manis di Jalan Gambang-Muadzam Shah, Kuantan.
Katanya polis laporan mengenai kemalangan itu pada jam 3.13 petang.
Wan Zahari memberitahu, mangsa yang maut ialah Muhammad Rosli Ibrahim, 33; Nor Afikah Abdullah Sani, 35; dan tiga anak mereka, Nur Safwa Irdina, 7; Nur Sofea Rajda, 6; dan seorang bayi.
"Berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemui, semua mangsa berasal dari Simpang Empat di Semanggol, Perak.
"Pemandu dan kelindan lori treler yang terbabit dalam kejadian itu tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan media di hari ini.
Menurut Wan Zahari kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani, dalam kenyataan berasingan berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chini dan Taman Tas terbabit dalam operasi mengeluarkan mangsa kemalangan.
"Tiga jentera bersama 13 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik pusat gerakan operasi Bomba Pahang menerima laporan kemalangan itu.
"Semua mangsa dikeluarkan dari kereta jenis Toyota menggunakan peralatan khas menyelamat dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai