Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid, Najib bakal hadir di konvensyen BN Sabah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak akan menghadiri konvensyen BN Sabah pada Sabtu ini.

Zahid akan menghadiri penutupan acara itu manakala Najib pula akan menyampaikan syarahan pada program "Bicara seorang negarawan".

Dalam satu kenyataan, Ketua BN Sabah Bung Mokhtar Radin berkata 5,000 perwakilan dijangka menghadiri majlis itu dan percaya ia mungkin merupakan perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang.

Bung Mokhtar berkata dia mengharapkan agar perwakilan parti meneliti rancangan persiapan BN untuk pilihan raya umum akan datang.

"Perhimpunan ini akan menjadi saksi kesepakatan parti komponen BN Sabah yang turut memberi sumbangan besar dalam pembentukan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 dan berkemungkinan menjadi pertemuan terakhir ahli dan penyokong BN sebelum PRU-15.

"Ia akan membincangkan pelbagai isu relevan bagi memperkasa perjuangan parti dan melihat secara jujur segala rencana serta pelan BN dalam mengatur persediaan menghadapi PRU-15," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Setiausaha BN Sabah Jafry Ariffin menyatakan tema konvensyen kali ini ialah "Kestabilan dan Kemakmuran.”

BN Sabah merupakan parti gabungan negeri yang pertama mengadakan konvensyen berikutan perhimpunan peringkat kebangsaan pada 1 Jun.

Konvensyen BN Sabah hujung minggu ini akan menjadi perhatian yang teliti, terutamanya mengenai bagaimana gabungan itu akan mengendali hubungan dengan sekutunya dalam Perikatan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

GRS ialah sekutu Sabah Bersatu dan parti bekas BN Sabah - Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (Sapp) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).