ULASAN | Kelangsungan bekalan makanan ketika perang
Sudah empat bulan berlalu sejak berlakunya serangan Rusia di Ukraine dan pencerobohan ini berlaku tanpa provokasi terhadap negara tersebut. Kesan buruk sedunia daripada serangan ini tidak mengenal sempadannya.
Berjuta-juta rakyat kini menghadapi kesan kemelesetan ini dengan peningkatan harga minyak, baja dan makanan, digandingkan pula dengan gangguan rantaian bekalan dan risiko makro-ekonomi yang lebih meluas. Sepertimana di kebanyakan negara, Malaysia turut terkesan dengan faktor-faktor ini yang membawa risiko kepada pelan pemulihan ekonomi pasca-Covid yang berjaya.
Oleh itu, saya ingin mengambil peluang ini untuk memberi gambaran yang lebih jelas terhadap faktor-faktor yang membawa kepada krisis keselamatan sedunia kini. Tidak dapat dinafikan bahawa pencerobohan Rusia telah menyekat sebanyak 20 juta tan bijirin dari Ukraine kepada pasaran dunia. Masalah ini telah mengakibatkan kekurangan bekalan yang besar dan peningkatan harga secara mendadak di pasaran antarabangsa. Ukraine dan Rusia mengeksport hampir satu pertiga bekalan gandum dan lebih 70 peratus minyak bunga matahari.
Sekatan Rusia memberi kesan yang besar kepada populasi daripada golongan rentan di Timur Tengah, Afrika Utara dan Sub-Sahara, serta Asia. Negara Rusia telah menyebabkan Laut Hitam menjadi zon peperangan.
Tindakan mereka telah mengakibatkan kenaikan kos pengangkutan dan insuran ke tahap yang sangat merisaukan ramai pihak. Tambahan pula, tindakan Rusia mengenakan cukai dan kuota terhadap eksport gandum, bijirin, barli dan jagung juga menyumbang kepada peningkatan harga pasaran.
Namun begitu, Rusia dengan sinisnya telah mengambil kesempatan terhadap isu keselamatan bekalan makanan sebagai satu senjata untuk menjadikan masyarakat dunia sebagai tebusan, dalam pada itu mengugut mana-mana negara yang membangkang pencerobohan mereka di Ukraine. Dalam konteks ini, Kesatuan Eropah (EU) sentiasa fokus kepada keutamaan kami, iaitu untuk menghentikan peperangan ini.
Kempen propaganda Rusia untuk menyebarkan maklumat palsu masih berterusan dengan menyalahkan EU dan negara-negara lain bertanggungjawab kepada masalah krisis keselamatan makanan sedunia. Ingin saya jelaskan secara terperinci: sekatan daripada EU tertumpu kepada kerajaan Rusia, sistem ekonomi dan kewangan mereka serta golongan elit ketenteraan yang bertanggungjawab dalam pencerobohan Ukraine.
Tiada satu pun daripada enam pakej sekatan oleh EU yang melarang Rusia mengeksport bekalan pertanian mahupun mana-mana peraturan terhadap pengendali bukan EU dalam sekatan terhadap Rusia.
Dengan situasi yang semakin meruncing, EU akan bergerak ke hadapan sebagai pemangkin utama untuk mempertahakan rangka kerja kolektif yang berdasarkan undang-undang antarabangsa sementara mendepani keperluan rakan negara yang memerlukan bantuan. Dengan cara ini, Tindakan Keselamatan Makanan EU akan membantu populasi yang terkesan mengikut pelan jangka masa pendek dan pertengahan, serta keutamaan untuk bantuan kecemasan.
Kami telah mengumumkan bantuan kecemasan sebanyak RM2.76 bilion untuk membantu negara-negara terkesan mengharungi krisis keselamatan makanan. Daripada jumlah itu, sebanyak RM690 juta diperuntukkan untuk bantuan kemanusiaan di rantau berisiko tinggi di Afrika, Carribean dan Pasifik. RM1.6 bilion pula dibelanjakan untuk meningkatkan pengeluaran makanan secara jangka masa panjang.
Sementelahan itu, inisiatif EU ini bertujuan untuk menyokong pengeluaran serta daya tahan keselamatan makanan secara global termasuklah usaha gandingan bersama untuk menggalakkan penggunaan alternatif baja secara efektif. Melalui usaha tersebut, EU juga berpaksikan ikhtiar ini selari dengan konteks multilateral untuk memastikan gangguan bekalan dan dagangan makanan adalah pada tahap yang minimum.
Namun begitu, tindakan segera adalah perlu untuk memastikan golongan rentan yang bergantung kepada Ukraine untuk produk pertanian mendapat akses kepada bekalan ini walaupun Rusia masih mengenakan sekatan. Sementara itu, EU sedang membantu Ukraine dengan memudah cara eksport Ukraine dengan ‘mengembalikan’ jutaan tan bijirin negara itu dalam pasaran dunia melalui jalan alternative dengan Pelan Tindakan Laluan Solidariti.
Tambahan pula, kami juga mengambil strategi jangka panjang untuk mendepani kesan negatif daripada perubahan iklim kepada keselamatan makanan seperti kemerosotan tanah yang subur, kehilangan biodiversiti dan peningkatan risiko pengeluaran pertanian tempatan.
Melihat kepada kepentingan semua pada masa hadapan, EU berhasrat untuk memadankan keperluan pelaburan jangka masa panjang dalam rantaian bekalan makanan melalui pertanian mampan dan inovasi ekologikal. Seiring dengan hasrat ini, industri memerlukan pembaharuan pengurusan tanah dan sokongan serta bantuan kepada petani kecil-kecilan untuk mengakses kewangan hijau. Melalui cara inilah kita dapat memperkasa akses makanan yang sihat serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
EU bersedia untuk mendorong Malaysia dalam usaha ini dengan membangunkan strategi baru struktur keselamatan makanan yang mampan.
MICHALIS ROKAS ialah duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai