Skip to main
Logo Malaysiakini

MIC: Jika dakwaan Tajuddin benar, ambil tindakan pemimpin terlibat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemimpin MIC menggesa agar tindakan sewajarnya diambil dengan kadar segera berhubung dakwaan terdapat pemimpin yang terlibat menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri pada 2020, seperti didedah Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

Ketua Penerangan MIC kebangsaan R Thinalan membuat gesaan itu dengan berkata sebarang kelewatan atau keengganan menangani isu berkenaan hanya akan memudaratkan BN.

"Jika benar memang ada usaha mengumpul SD menyokong Anwar sebagai PM, apakah rasional dan keperluan mendukung pemimpin parti lawan tersebut? Adakah terdapat sebarang kepentingan politik tersirat dan tersurat demi agenda peribadi.

"Jika dakwaan Tajuddin terbukti benar, maka Majlis Tertinggi BN. harus mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan kadar segera.

"Sebaliknya, jika pendedahan Tajuddin adalah fitnah, kenapakah tiada sebarang penafian sehingga saat ini daripada kedua-dua pemimpin berkenaan? Jangan melengahkan tindakan undang-undang ke atas Tajuddin di atas fitnah yang parah ini," katanya.

MIC merupakan parti komponen BN yang pertama memberi reaksi berhubung pendedahan Tajuddin.

Untuk rekod, pada Isnin lalu Tajuddin antara lain mendedahkan bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin Umno lain pernah menandatangani SD untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Tajuddin berkata dia adalah saksi hidup yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti itu.

Susulan itu, Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia dan Tajuddin dan Ahmad Zahid antara pemimpin menandatangani SD menyokong Anwar pada November 2020.

Katanya, tindakan itu adalah untuk menyelamatkan Umno daripada dibubarkan oleh Muhyiddin.

Menurutnya, pemimpin lain yang turut menandatangani SD itu adalah bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dan Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub.

Sementara itu, Thinalan menggesa Ahmad Zahid dan Najib tampil memberi penjelasan terhadap segala pendedahan oleh Tajuddin.

"Pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak ini sesungguhnya amat mengejutkan dan penyokong akar umbi makin mendesak menuntut penjelasan daripada kepimpinan Umno dan BN khasnya Zahid dan Najib.

"Saya memohon tindakan segera Zahid dan Najib bagi tampil memberi penjelasan bagi menjernihkan kekeruhan politik semasa.

"Pendedahan Tajuddin sudah mencetuskan pelbagai spekulasi di peringkat akar umbi, di mana penyokong tegar sendiri mula mempersoalkan integriti dan keikhlasan kepimpinan Umno dan BN, memandangkan Ahmad Zahid sentiasa melaungkan ‘No Anwar! No DAP!’.

"Sebarang kelewatan atau keengganan menangani isu ini hanya akan memudaratkan BN," katanya.