Skip to main
Logo Malaysiakini

Beban sara hidup: Bertindak segera atau mahasiswa akan 'turun'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sebanyak 20 persatuan pelajar universiti mendesak kerajaan segera menangani isu kenaikan kos sara hidup di negara ini, atau kegagalan bertindak akan mendorong mereka turun ke jalan raya.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini mereka berkata 'kata dua' tersebut dicapai selepas pertubuhan terbabit bertemu dan berbincang untuk mencari kesepakatan.

Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Aliff Naif yang menjadi jurucakap kumpulan tersebut berkata hasil perbincangan berkenaan sebanyak lima ketetapan dipersetujui.

Satu daripadanya ialah menuntut agar gaji menteri dan timbalan menteri - dalam kabinet yang dianggap besar dan "tidak masuk akal" sekarang - dipotong.

Kata Aliff langkah itu adalah untuk menunjukkan kumpulan terbabit bersama-sama dengan rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup yang menekan.

"Kami juga menuntut agar bantuan bermaruah dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat.

"Bantuan sedia ada jelas tidak mencukupi dan tidak dapat mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga barang," katanya pada sidang media di Gombak hari ini.

Turut disenaraikan kumpulan pelajar terbabit ialah mengekalkan subsidi sedia ada kerana sebarang langkah mengurangkannya akan memberi tekanan lebih dahsyat kepada masyarakat.

Kata Aliff kesatuan pelajar juga mahu Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengawal harga barangan serta makanan di kafe serta vendor dalam institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketika ini katanya kenaikan harga secara mendadak sedang berlaku.

"Kami juga mahu kerajaan menyelesaikan isu jaminan makanan (food security) kerana ini adalah masalah asas dan perlu diselesaikan segera," katanya.

Tambah Aliff kerajaan perlu memberikan penyelesaian jangka pendek dan panjang terhadap isu itu kerana ia menyentuh kelangsungan hidup rakyat di negara ini.

Katanya semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang dan pertubuhan lain perlu bersama-sama dengan mereka untuk terus membela nasib rakyat.

"Dengan tuntutan kami , atau kami akan turun (ke jalan raya). Aksi kami seterusnya akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Antara kesatuan pelajar yang menyokong kenyataan tersebut ialah Kesatuan Pelajar UIA, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Demokrat UKM, Demokrat UM, Suara Mahasiswa UMS, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Republikan UKM.