Skip to main
Logo Malaysiakini

Waris mangsa Covid-19 dibenar turut serta urusan mandi, kapan jenazah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Urusan pengebumian bagi mangsa yang meninggal dunia akibat wabak Covid-19 kini boleh dihadiri oleh dua waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai pakaian perlindungan lengkap atau personal protective equipment (PPE), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin.

Menurutnya, ia susulan semakan semula tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti Covid-19 agar ia relevan dengan situasi semasa dan sejajar dengan resolusi mesyuarat khas Jawatankuasa Muzakarah Islam yang telah bersidang pada 26 Julai.

“Jenazah Islam dibenarkan untuk dimandi dan dikapankan oleh pengendali jenazah yang terlatih di hospital dengan pemakaian PPE yang lengkap dan bersesuaian.

“Mengelakkan aktiviti yang berunsur aerosol generating procedure (AGP) ke atas jenazah seperti menekan perut jenazah.

“Hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dan bersesuaian dibenarkan turut serta dalam urusan memandikan dan mengapankan jenazah bersama pengendali jenazah yang terlatih di hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy berkata bagi jenazah bukan Islam, dua waris dengan syarat yang sama dibenarkan turut serta dalam urusan prosedur amalan terakhir atau last rite yang memerlukan penukaran pakaian baru.

Katanya, pakaian tersebut boleh diletakkan di atas badan jenazah tanpa melibatkan aktiviti AGP.

“Selain itu, antara tatacara pengurusan jenazah yang turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah.

“Berbanding sebelum ini yang perlu menggunakan dua beg mayat bagi setiap jenazah,” katanya.

Khairy berkata, untuk pengebumian jenazah, kemjenterian kesihatan tidak lagi menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat dalam proses pengebumian tetapi mereka perlu memakai PPE.

“KKM juga tidak menetapkan jumlah kehadiran untuk menyaksikan proses pengebumian jenazah.

“Namun begitu, KKM menggalakkan individu yang hadir untuk memakai pelitup muka dan elakkan dari bersesak-sesak,” katanya.