Inflasi: Nasi campur boleh cecah RM10 sepinggan - siswa
Inflasi yang meningkat di seluruh negara memberi kesan terhadap golongan pelajar apabila kafetaria universiti dan kedai koperasi mula menaikkan harga makanan dan barangan runcit, dengan sesetengahnya dijual melebihi harga pasaran, menurut kumpulan siswa.
Mereka berkata sepinggan nasi campur berlaukkan sayur dan ayam dijual sehingga RM10 manakala sebuku sabun berharga RM6 meskipun barangan itu boleh dibeli di tempat lain pada separuh harga.
Pada sidang media hari ini, Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif Mohd Fizam berkata perkara ini merupakan dapatan mereka selepas menjalankan tinjauan harga barang di universiti sekitar Lembah Klang.
"(Harga) tidak naik sehingga dua kali ganda, namun peningkatannya agak membebankan bagi pihak mahasiswa, kerana kita bukan golongan yang berpendapatan.
"Jita dapat lihat komen-komen daripada pihak mahasiswa itu sendiri, wujud kenaikan yang saya sebutkan, membebankan daripada pihak mahasiswa.
"Kita tidak menolak kemungkinan, bahawa ada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut, terkait dengan isu kenaikan ini," katanya.
Menurut kumpulan itu, biasanya harga makanan diletakkan berpatutan di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Namun, kata mereka kini sepinggan nasi campur dengan beberapa sayur kini dijual pada harga RM6 manakala seketul ayam goreng dijual antara RM3 dan RM4.50.
Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya Ooi Guo Shen berkata ketika pelajar mula-mula pulang ke kampus Mei lalu, mereka hanya perlu membayar RM6 untuk sepinggan nasi campur lauk sayur dan ayam.
Bagaimanapun, kata Ooi kini mereka perlu membayar antara RM9 dan RM10 untuk hidangan yang sama sejak dua minggu lalu.
Sementara itu, wakil persatuan Demokrat UM Sharifah I'Nur Habib Idris berkata beberapa kedai koperasi di kampus itu ditutup selepas pelajar mengadu membeli barangan dengan harga mahal.
Jelasnya, dia tidak pasti dari mana datangnya arahan penutupan itu.
Harga cekik darah
"Harga yang tidak terkawal itu, sebagai contohnya satu buku sabun dijual sehingga harga RM6 , yang patutnya boleh dibeli di luar dengan RM3, tapi dalam koperasi RM6," katanya.
Dia juga menegaskan mi segera sepaket dijual pada harga RM2.50 untuk jenama Maggi dan sehingga RM6.50 untuk Korean Ramen.
"Kononnya untuk memudahkan mahasiswa, untuk ada gerai dalam kampus kami sendiri, tetapi apa yang memudahkannya, jika harga dia pun mencekik darah bagi kami sendiri," katanya.
Pada sidang media sama, Aliff bersama wakil 20 persatuan mahasiswa menggesa kerajaan segera menangani kenaikan kos sara hidup atau kegagalan bertindak akan mendorong mereka turun ke jalan raya.
Kumpulan siswa itu juga menuntut Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengawal harga barangan serta makanan di kafe serta vendor dalam institusi pengajian tinggi (IPT).
Antara kesatuan pelajar yang menyokong kenyataan tersebut ialah Kesatuan Pelajar UIA, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Demokrat UKM, Demokrat UM, Suara Mahasiswa UMS, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Republikan UKM.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai