Skip to main
Logo Malaysiakini

'Shafie tak berprinsip mahu kerjasama dengan mana-mana pemenang PRU'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Warisan Shafie Apdal disifatkan sebagai tidak berprinsip kerana bersedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang menang selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15 bagi memastikan kestabilan politik, menurut Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Sebuah parti yang menyatakan sokongan kepada gabungan yang menang hanya mencari jawatan dan kepentingan, katanya.

"Saya berasa dukacita dengan kenyataan tersebut, saya pun ada baca kenyataan melalui satu forum beliau, Shafie pada Sabtu lepas. Beliau kata bahawa beliau sanggup bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti baik BN, Perikatan (Nasional) atau Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan kononnya kalau dah bentuk kerajaan dia boleh bekerja dgn mana-mana pihak.

"Ini saya rasa satu pandangan yg mungkin dinampak macam tak berprinsip, pertama. Yang kedua tak masuk akal. Kalau gabungan itu dah menang, takkan ia nak kerja sama dengan parti lain, kecuali ia tak menang, kalau ia dah menang sendiri, takkan ia nak kerjasama, nak bahagikan kerusi menteri untuk parti lain pula.

"Jadi ini sesuatu yang saya rasa tidak begitu masuk akal," kata Ahli Parlimen Seremban itu dalam temu bual langsung dalam talian.

Walaupun Loke tidak menolak kemungkinan gabungan kerajaan dan pembangkang mewujudkan beberapa bentuk kerjasama selepas PRU, Loke berkata prasyarat kerjasama itu mesti dibina atas kapasiti pembangkang yang kuat.

"Syarat yang paling besar ialah kita mesti kuat dulu, kita mesti ada kerusi yang banyak baru kita boleh runding, baru kita ada modal untuk runding.

"Kalau kita dah kalah, parti yang menang besar tak akan runding dengan kita lagi, kalau kita dah kalah, ia tak ada apa-apa alasan nak runding atau bekerjasama dengan kita lagi.

"Kita tak ada apa-apa yang kita boleh tuntut lagi," katanya.

Pada 28 Jun lalu, Shafie berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan gabungan politik yang memenangi pilihan raya akan datang demi kestabilan politik.