Bubarkan Majlis Pemulihan Negara - Umno
Umno mendesak supaya kerajaan membubarkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata majlis itu tidak lagi berkesan terutamanya dengan tindakan kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Malah, katanya, sejak awal, majis itu hanya berfungsi sebagai penasihat kerajaan sahaja dan mempunyai pertindihan peranan dengan badan-badan pemikir berkaliber seperti seperti Khazanah Research Institute (KRI).
“Majlis Pemulihan Negara sudah gagal,” kata Zahid.
“Sudah tiba masanya Kerajaan membubarkan sahaja majlis ini dan memberikan kelapangan kepada kementerian-kementerian dan menteri-menteri daripada melayan dan menghadiri mesyuarat majlis yang tidak berkesan ini.”
Kerajaan semalam bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi kemelut peningkatan kos sara hidup.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan lima menteri bersama Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali itu akan merangka strategi serta menyelaras tindakan berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang.
Isu kenaikan harga barang terus menjadi perhatian ramai dengan pelbagai pihak mendesak kerajaan mengambil langkah segera bagi menangani kesukaran yang sedang dialami rakyat.
Menulis di media sosialnya hari ini, Zahid berkata MPN hanyalah platform untuk memberikan peluang kepada Muhyiddin menaikkan imej diri sendiri serta partinya.
“Saya ingin menasihati Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggunakan platform berlainan bagi menyumbang idea dan saranan sebagai mantan perdana menteri, seperti menerusi Yayasan Kemimpinan Perdana bersama-sama Tun Dr Mahathir.
“Itu lebih elok,” katanya.
MPN diperkenal oleh Muhyiddin ketika dia menjadi perdana menteri bagi merancang pembukaan semula sektor sektor-sektor penting negara secara beransur-ansur selepas Covid-19 semakin terkawal.
Dia dilantik semula sebagai pengerusinya tahun lalu selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kerana digulingkan sekumpulan pemimpin Umno yang menarik balik sokongan padanya.
Walaupun masih mendukung kerajaan sedia ada, Umno dan Bersatu kini saling menyerang antara satu sama lain, susulan desakan ke arah pilihan raya umum semakin kuat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai