Minyak masak harga RM2.50 masih ada, kata Najib
Bekas perdana menteri Najib Razak mengingatkan pengguna bahawa minyak masak dengan harga RM2.50 sekilogram masih dikekalkan, meskipun mereka tidak lagi dapat membeli minyak masak botol dengan harga RM6.70 sekilogram.
Najib mengingatkan orang bahawa masih wujud minyak masak paket yang jauh lebih murah harganya, susulan kebimbangan mereka terhadap pemansuhan subsidi minyak masak botol.
Jelas Ahli Parlimen Pekan itu subsidi minyak masak botol tidak pernah wujud sehinggalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkannya pada Ogos 2021 yang bertujuan mendapatkan minyak masak bersubsidi ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Jadi, mereka yang bimbang tentang pemansuhan subsidi minyak masak botol perlu tahu bahawa minyak masak paket yang jauh lebih murah harganya masih wujud.
“Kenapa nak bimbang bahawa kita tak boleh beli minyak masak dengan harga RM6.70 satu kilogram lagi sedangkan minyak masak dengan harga RM2.50 masih dikekalkan dan diperluaskan?” katanya menerusi satu hantaran Facebooknya, hari ini.
Pada 22 Jun lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan tidak memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan.
Sebaliknya, dia berkata, subsidi minyak masak berpaket masih dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.
Menurut Ismail Sabri, peruntukan subsidi minyak masak tahun ini jauh lebih tinggi berbanding RM500 juta yang diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021.
"Subsidi ditanggung kerajaan untuk minyak masak berpaket bagi membolehkan ia dijual dengan harga RM2.50 sekilogram ketika ini, berbanding harga pasaran sebenarnya iaitu RM9 sekilogram bagi kegunaan domestik," kata Ismail.
Dalam pada itu, Najib berkata subsidi minyak masak paket bagi keperluan domestik bukan komersial ini diperkenalkan kerajaan BN dan tidak pernah dimansuhkan sehingga kini kerana ia dibiayai cukai durian runtuh ke atas minyak sawit.
Justeru, katanya, apabila harga minyak sawit tinggi, harga minyak masak turut tinggi dan kerajaan akan mengutip duit dari cukai durian runtuh ini bagi subsidi minyak masak paket.
“Sebaliknya bila harga minyak sawit rendah, harga minyak masak pun turun dan tiada keperluan bagi subsidi,” katanya.
Bagaimanapun, Najib berharap kerajaan akan memastikan pengeluaran dan pengedaran minyak masak paket bersubsidi dapat dijamin agar dapat memenuhi permintaan orang ramai.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai