Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam Azeez mohon keputusan rayuan kes rasuah ditangguh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusannya terhadap rayuan Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 pertuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram kepada 26 Ogos depan.

Ia susulan pasukan pembelaan ahli Parlimen Baling itu yang memaklumkan Mahkamah Rayuan pagi tadi bahawa SPRM bersedia untuk memberi taklimat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung penemuan fakta serta bukti baru kes itu .

Peguamnya, Amer Hamzah Arshad memberitahu panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Kamaluddin Md Said bahawa pada 27 Jun lalu, pihaknya menerima maklum balas daripada SPRM berkaitan representasi dan surat sokongan kes itu yang diserahkan kepada AGC.

Surat representasi adalah cara alternatif untuk menyelesaikan urusan mahkamah, seperti cadangan untuk menarik balik pertuduhan jenayah, atau untuk tertuduh didakwa untuk kesalahan yang lebih ringan.

“Mereka (AGC) masih belum membuat keputusan (berhubung surat representasi). Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata mereka (SPRM) sedang meneliti perkara berkenaan, dan beberapa aspek memerlukan siasatan (lanjut), dan mereka akan memberi taklimat kepada AGC dalam masa terdekat.

“Berdasarkan surat SPRM, saya percaya hasil representasi itu akan memberi (impak) kepada keseluruhan episod (kes rasuah dan pengubahan wang haram).

"Jika AGC bersetuju dengan representasi kami, maka tidak ada keperluan untuk panel ini bersidang,” kata Amer semasa memohon supaya keputusan yang dijadualkan hari ini ditangguhkan.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad, berkata pihaknya diberi arahan supaya tidak membantah permohonan pihak pembelaan.

"Kami dimaklumkan ada perkembangan terkini membabitkan kes itu dan AGC perlu masa untuk membuat penelitian menyeluruh," katanya.

Hakim Kamaluddin kemudiannya bersetuju menangguhkan keputusan rayuan itu untuk kali terakhir, kerana katanya, kes itu sudah berjalan dalam tempoh lama. Mereka sepatutnya membuat keputusan pada Mac tahun ini tetapi ditangguhkan atas permintaan.

Panel kemudian membenarkan penangguhan kepada 26 Ogos.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Amer menjelaskan bahawa SPRM sedang meneliti "petunjuk baru" dalam kes itu yang mungkin boleh membawa kepada penarikan balik pertuduhan terhadap Abdul Azeez.

“Kami mempunyai petunjuk dan bukti baru yang dikemukakan kepada SPRM. Pertuduhan telah dibawa (terhadap Abdul Azeez) semasa AG sebelum ini,” kata peguam itu.

Kes utama terhadap tertuduh masih belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, yang ditetapkan untuk sebutan pada 30 Ogos ini.

Mahkamah Rayuan pada mulanya menetapkan tarikh hari ini bagi memaklumkan keputusan terhadap rayuan Abdul Azeez.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 21 Mac bagi keputusan rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.

Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Abdul Azeez untuk menangguhkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, pada 8 Dis 2010, dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017, dan 10 April 2018.

Manakala bagi kesalahan pengubahan wang haram ia didakwa dilakukan di Lembah Klang, antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Sebelum ini Abdul Latif, 63, dituduh bersubahat dengan Azeez untuk mendapatkan rasuah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai habuan membantu syarikaty Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya melalui tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Projek Lebuhraya Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Lekir di Perak) bernilai RM644,480,000.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan bersubahat di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagaimanapun, Abdul Latif berjaya mendapatkan pembebasan penuh daripada mahkamah atas tuduhan terbabit pada 19 Januari lalu apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan ahli perniagaan terbabit bagi menggantikan keputusan membebas tanpa melepaskan (DNAA) daripada dua pertuduhan bersubahat rasuah.

Pada 8 Feb tahun lalu pihak pendakwaan berjaya dalam permohonannya agar Abdul Latif diberikan DNAA sebagai balasan untuk kerelaannya memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap adiknya, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Permohonan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

[Baca berita asal]

Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya ke 26 Ogos.

Tarikh itu ditetapkan selepas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez memohon mahkamah menangguhkan keputusannya yang dijadualkan hari ini berikutan jawapan yang diterima daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Jun lepas berkaitan surat representasi Ahli Parlimen Baling kepada Peguam Negara (AGC).

Beliau berkata menurut SPRM, terdapat petunjuk baharu yang mereka sedang kaji dan SPRM bersedia untuk memberi taklimat kepada AGC mengenai perkembangan baharu itu.

Amer Hamzah berkata beliau telah mengemukakan surat kepada mahkamah memohon supaya memberi masa kepada SPRM dan AGC untuk memutuskan representasi anak guamnya.

"Kami yakin keputusan representasi akan menyelesaikannya. Jika AGC bersetuju dengan representasi kami berdasarkan isu yang kami bangkitkan, tidak ada keperluan untuk mahkamah ini menyampaikan keputusan," katanya.

Terdahulu, Amer Hamzah berkata beliau memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan tarikh keputusan awal pada 21 Mac tahun ini sementara menunggu jawapan AGC terhadap representasi mereka, sambil menambah bahawa mahkamah kemudian menetapkan semula tarikh keputusan itu pada sehingga hari ini.

Beliau berkata ini adalah penangguhan ketiga.

Oleh kerana tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang mengetuai panel tiga hakim, kemudian membenarkan penangguhan itu dan berkata ia adalah penangguhan terakhir.

"Kami ada banyak kes lain, mahkamah telah memberi penangguhan beberapa kali dan ia tidak baik di mata orang ramai," kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Abdul Azeez, 55, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Dia juga menghadapi 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada Menuju Asas Sdn Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.