Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes kematian pembantu rumah: Bekas peguam cara akhirnya bersuara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Akhirnya bersuara mengenai pembebasan S Ambika, bekas peguam cara III Mohamad Hanafiah Zakaria berkata tiada bukti yang mencukupi untuk memastikan sabitan membunuh.

Sebelum ini timbul ketidakpuasan hati selepas suri rumah itu dibebaskan dari tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesianya, Adelina Lisao.

Bagaimanapun, Hanafiah berkata bukti yang dikumpul tidak mencukupi untuk mensabitkan kesalahan yang lebih ringan iaitu menyebabkan kematian secara kecuaian.

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa pengarah pendakwaan negeri Pulau Pinang ketika itu dan timbalan pendakwa raya (DPP) dari pejabat pengarah pendakwaan negeri Pulau Pinang mula-mula mencadangkan untuk tidak meneruskan pendakwaan atas tuduhan membunuh itu.

Hanafiah mengimbas semula bahawa DPP negeri mengemuka saranan mereka untuk menurunkan pertuduhan kepada Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian secara kecuaian (pertuduhan membunuh dirangka di bawah Seksyen 302).

Dia menjelaskan bahawa DPP negeri membuat cadangan itu selepas pasukan peguam Ambika menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Surat representasi adalah untuk mencari cara alternatif untuk menyelesaikan perkara mahkamah seperti cadangan untuk menggugurkan pertuduhan jenayah atau untuk pertuduhan yang lebih ringan dikenakan terhadap tertuduh.

'Adelina memberitahu doktor dia tidak dipukul'

Hanafiah berkata, doktor yang merawat Adelina ketika pertama kali dibawa ke Hospital Bukit Mertajam pada Februari 2018 mendapati luka di lengan dan kakinya akibat melecur.

Tambahnya, doktor tidak dapat menentukan punca melecur dan mendapati kecederaan tidak teruk sebaliknya dibiarkan tanpa rawatan.

Dia mendakwa doktor telah menemu bual Adelina, yang juga mengalami anemia, dan dia menafikan majikannya menyerangnya.

Menurut Hanafiah, Adelina memberitahu doktor bahawa asid tertumpah ke atasnya ketika dia menggunakannya untuk membersihkan tandas kira-kira tiga minggu lebih awal manakala lebam lain dialami akibat terjatuh ketika bekerja.

Hanafiah berkata tiada bukti menunjukkan tindakan Ambika secara langsung membawa kepada kematian Adelina, yang disebabkan oleh Septikemia sekunder kepada selulitis daripada kecederaan yang berkaitan dengan luka kulit yang dijangkiti akibat daripada luka bakar yang tidak dirawat.

Dia mendakwa kekurangan bukti untuk mengaitkan kecederaan yang menyebabkan kematian kepada tertuduh.

“Berdasarkan fakta, mereka (DPP Pulau Pinang) mengemukakan kepada saya dalam penulisan mereka, mereka mengatakan tiada apa-apa yang mengaitkan kecederaan dengan tertuduh.

“Jadi berdasarkan itu, walaupun kita (pendakwaan) mengurangkan pertuduhan kepada Seksyen 304A, ia tetap tidak adil,” katanya sambil menambah bahawa majikan sebenar si mati adalah salah seorang anak Ambika yang tinggal serumah.

“Tidak adil menyalahkan ibu. Jadi berdasarkan itu, saya tidak bersetuju dengan cadangan DPP negeri supaya pertuduhan dikurangkan kepada Seksyen 304A kerana tiada bukti menunjukkan tertuduh menyebabkan kematian mangsa secara cuai.

“Jika tiada bukti pun dia (Ambika) menyebabkan kematian Adelina, jadi bagaimana hendak mengaitkan Ambika dengan menyebabkan kematian melalui perbuatan cuai di bawah Seksyen 304A?

"Saya masih ingat memberitahu mereka 'Tidak' dan memohon DNAA (pelepasan tanpa pembebasan) dan kemudian mempertimbangkan pertuduhan lain yang mungkin dikenakan terhadap ahli keluarga tertuduh," katanya.

Pada 18 April 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Ambika daripada pertuduhan membunuh walaupun pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh diberikan DNAA.

Malaysiakini melaporkan bahawa ketika itu peguam negara (AG) Tommy Thomas memutuskan untuk merayu kerana dia tidak dirujuk berhubung cadangan mendapatkan DNAA.

Di bawah undang-undang, tertuduh yang dibebaskan atas DNAA masih boleh didakwa atas kesalahan yang sama pada masa hadapan jika pihak pendakwaan memutuskan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, pembebasan penuh - dilepas dan dibebaskan (DAA) - menutup pilihan bagi pihak pendakwaan untuk menuduh semula tertuduh atas kesalahan yang sama.

Pada 2020, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pihak pendakwaan untuk menggantikan pembebasan penuh Ambika dengan DNAA dan Mahkamah Persekutuan minggu lalu mengekalkan keputusan mahkamah rendah.

'Tommy Thomas tak puas hati dengan reaksi balas kedutaan'

Mengenai dakwaan bahawa Thomas tidak dimaklumkan berhubung cadangan DNAA, Hanafiah berkata peguam negara ketika itu tidak berpuas hati dengan keputusan itu berikutan reaksi balas daripada kedutaan Indonesia.

"Setahu saya, keputusan itu adalah dalam bidang kuasa serta kuasa untuk menyemak kes, yang diberikan kepada saya sebagai peguam negara III di bawah arahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya," tambahnya.

Dia berkata susulan keputusan untuk merayu terhadap pembebasan itu, dia telah "hilang kawalan" kerana pendakwa raya lain tidak berunding dengannya mengenai kes itu.

“Saya mengharapkan peguam negara untuk mempertahankan keputusan saya tetapi dia tidak berbuat demikian. Dilema saya ialah apabila anda mempunyai (surat) representasi seperti ini dan selepas mengkaji kes itu, anda perlu memutuskan sama ada untuk meneruskan atau tidak.

“Laluan mudah adalah dengan membenarkan mahkamah memutuskan kes (perbicaraan penuh). Tetapi satu perkara yang perlu difahami ialah tertuduh berada di bawah reman (pada 2018 sebelum didakwa pada tahun yang sama) dan berusia 60 tahun.

“Dia berada di bawah jagaan. Adakah kita mahu menunggu sehingga mahkamah membuat keputusan sementara dia meringkuk dalam penjara?

“Bagaimana kita menjawab ini di hadapan Tuhan? Apabila anda mempunyai cara untuk melakukan keadilan tetapi anda gagal melakukannya.

“Saya diajar oleh (bekas peguam negera Abdul) Gani Patail sebelum ini untuk berani membuat keputusan. Apabila seseorang melihat ketidakadilan, seseorang itu perlu membetulkannya,” tambahnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Thomas enggan mengulas kenyataan Hanafiah.

[Baca berita asal]