Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak mustahil jika harga makanan naik, kata peniaga

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Harga makanan di kedai-kedai makan dibimbangi naik susulan keputusan kerajaan menaikkan harga siling ayam dan memansuhkan subsidi minyak masak botol.

Bagaimanapun, pengusaha makanan yang ditemui Malaysiakini di sekitar Petaling Jaya semalam berkata, berkata mereka masih meneliti peningkatan kos operasi sebelum membuat sebarang keputusan.

Peningkatan harga jika berlaku adalajh yang kedua untuk tahun ini. Pada Mei dan Jun lepas terdapat peningkatan apabila bekalan ayam tidak mencukupi dalam pasaran.

Sebelum Julai, Malaysiakini difahamkan, ramai peniaga sukar mendapatkan bekalan ayam ketika harga silingnya RM8.90 sekilogram.

Sementara itu, peniaga berkata harga RM29.70 untuk minyak masak botol 5kg sebelum ini juga sudah cukup mahal kerana ia akan habis digunakan untuk sehari sahaja.

Semakan Malaysiakini semalam mendapati stock minyak masak paket subsidi 1kg yang berharga RM2.50 sukar didapati di banyak kedai di seluruh negara, seperti di Petaling Jaya, Bayan Lepas dan Johor Bahru.

‘Caj potong ayam’

Sementari itu, peniaga nasi lemak, Aerah Ali yang ditemu bual Malaysiakini berkata, perniagaannya merosot lebih 50 peratus berbanding sebelum pandemik berikutan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

“Ramai peniaga ayam telah memulakan sistem baru dengan mengenakan caj pemotongan bagi ayam bulat. Sekiranya pembeli mahu ayam mereka dipotong, mereka dikenakan caj tambahan 60sen hingga 80sen setiap kilo.

“Sebagai contoh, jika harga siling RM9.40 sekilogram sekarang, mungkin mereka akan mengenakan 60sen untuk kos pemotongan untuk menjadikannya RM10 sekilogram.

“Kita peniaga mana boleh potong sendiri, bukan kita beli sikit-sikit. Dan memang tak akan sempat nak potong.

"Dulu masa harga ayam RM7.80 sekilogram peniagan akan bersihkan sekali ayam dan potong. Meraka akan tanya kita nak potong 10 bahagian ke, empat ke, lapan ke, atas permintaan pelanggan tapi sekarang (kenakan caj pula)," katanya

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaporkan berharap peniaga tidak mengenakan caj pemprosesan ayam kepada pembeli setelah harga siling runcit ayam standard baharu dinaikkan kepada RM9.40 sekilogram bermula hari ini.

Sementara itu, Ahsiyah Abdul Wahab, pengusaha kedai nasi campur, turut mengeluh kerana ramai penjual ayam di pasar basah tidak mengikut harga siling.

“Harga ayam sekarang sekilogram RM9.40, tapi masih ramai peniaga yang mengenakan harga pada RM10 hingga RM11 sekilogram. Harga yang sama dikenakan ketika kekurangan bekalan ayam di pasaran sebelum ini, walaupun kerajaan dah maklumkan bekalan ayam terbabit sudah kembali normal," katanya

“Kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap mereka ini," katanya

Bagaimanapun, mengulas soal kenaikkan harga makanan yang akan dikenakan kepada pelanggan kelak, Ahsiyah berkata dia masih tunggu dan lihat.

"Kita tunggu dan lihat berapa harga ayam dan minyak masak untuk bulan Julai sebelum membuat keputusan sama ada untuk menaikkan harga makanan atau tidak.

“Sebelum harga minyak naik pun, ayam susah nak dapat dan kami sudah menaikkan sedikit harga jualan makanan. Tapi tak terlalu tinggi, takut pelanggan pun bajet-bajet nak makan sebab di sini semua pekerja pejabat,” kata peniagan berusia 61 tahun itu.

Ahsiyah Abdul Wahab

Naik 50sen, jika perlu

Sementara itu, seorang penjual daging bakar yang hanya ingin dikenali sebagai Chan dan pengusaha restoran Ng Ah Lai memberitahu Malaysiakini mereka juga memantau harga bahan mentah bermula 1 Julai ini.

Menurut kedua-duanya, mereka akan menaikkan harga mereka sebanyak50 sen jika perlu.

"Jika subsidi ayam daripada kerajaan (untuk menetapkan harga siling) tidak mencukupi, kami peniagan akan menanggung kos lebihan terbabit," kata Chan.

Rakan kongsi Ahsiyah, Ismail Kassim yang menyifatkan dirinya sebagai "penjaja B40" berkata dia pernah menjual nasi lemak biasa pada harga RM1 tetapi kini terpaksa menjualnya pada harga RM1.20 untuk menampung kos.

Ismail Kassim (kanan) dan Aerah Ali (kanan)

Sementara, untuk nasi lemak ayam pula terpaksa dinaikkan daripada RM5.50 kepada RM6 atau RM7.

"Kami sebagai peniaga bukan suka-suka nak naik harga makanan tapi kami terpaksa. Kita tahu pelanggan tak akan gembira tapi kalau nak teruskan perniagaan kami kena ada untung sikit.

"Sekarang ini berniaga dah macam kerja dengan majikan, bukan untuk ambil untung, tapi kami ambil gaji sahaja sekarang," tambahnya.

Harga babi melonjak lebih tinggi

Selain itu, Ng turut menyuarakan kebimbangannya mengenai harga daging babi yang melonjak lebih tinggi daripada harga ayam tahun ini sehinga RM500 setiap 100kg. 

Ng Ah Lai

Ia dijangka akan terus meningkat sebanyak RM1 setiap sekilogram mulai hari ini.

“Buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun, kami menaikkan harga semasa Tahun Baharu Cina. Saya akan menaikkannya semula jika perlu, tetapi saya tidak akan mengurangkan atau menukar bahan-bahannya. Ini yang paling penting bagi kami tukang masak,” katanya.

Mesyuarat kabinet pada 29 Jun memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi.

Bermula 1 Julai (hari ini), harga runcit silingnya bagi semenanjung ditetapkan pada harga RM9.40 sekilogram, naik 50sen daripada RM8.90 yang dijual sekararang.

Harga siling telur ayam pula naik antara 2sen bagi setiap gred.

Selain itu, subsidi minyak masak dalam botol juga akan dimansuhkan bermula 1 Julai, tetapi minyak masak paket 1kg akan terus kekal pada harga RM2.50.

Minyak masak campuran, seperti jenama Knife, Red Eagle dan Neptune, tidak dikategorikan sebagai barangan terkawal.

[Baca berita asal]