Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Perangkap duit percuma

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Orang kencing manis, jangan diberi gula. Kalau diberi juga, kakinya nanti akan kena potong. Apabila dia sudah tiada kaki, maka dia akan susah untuk cari makan—dan ekonomi diri dan keluarganya akan terjejas.

Begitulah juga dengan keadaan ekonomi di Malaysia sekarang. Inflasi ibarat penyakit kencing manis. Tetapi kerajaan dengan bangga tetap memberikan gula dan tidak sedar bahawa itulah punca penyakit yang merbahaya.

“Gula” yang saya maksudkan ialah wang percuma.

Kata Menteri Kewangan dengan bangga, kerajaan campuran BN-PN telah membelanjakan RM8.2 bilion dalam skim Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Jumlah itu adalah yang tertinggi di dalam sejarah—melebihi bantuan BR1M di era Najib Razak, dan Bantuan Sara Hidup (BSH) di era Mahathir Mohamad bersama Pakatan Harapan (PH).

Sebagai mantan pegawai bank, apakah menteri kewangan tidak tahu bahawa konsep wang percuma sebegitulah yang akan menyebabkan kadar inflasi terus meningkat? Wang percuma adalah sama sahaja ertinya dengan mencetak wang dan dimasukkan ke dalam pasaran, untuk melawan inflasi.

Apabila wang semakin banyak dalam pasaran, maka nilainya semakin jatuh. Di era moden, wang tidak lagi disandarkan kepada emas, tetapi kepada produktiviti sesebuah negara.

Sejak puluhan tahun, nilai matawang Malaysia Ringgit (RM) terus menjunam. Usahlah bandingkan dengan Dollar Amerika Syarikat (USD), cukuplah dibandingkan dengan Dollar Singapura (SGD) pun RM semakin melemah.

Pada awal 1970-an, RM1 bersamaan dengan SGD1. Mulai awal tahun 2000, nilainya menjunam sangat buruk, dan kini RM1 bersamaan dengan lebih SGD3. Mamat dan minah Singapura yang masuk ke Malaysia akan dengan sendirilah tiga kali ganda lebih kaya daripada orang di Johor Bahru.

Tak tingkatkan produktiviti

Maknanya, kalau di tahun 1980-an dahulu, dengan RM1 kita sudah dapat sehelai tuala Good Morning apabila berbelanja di Gaylang, tetapi hari ini, kita perlu mengeluarkan RM3 untuk mendapat jenis tuala yang sama.

Mungkin sudah tiada siapa lagi yang membeli tuala Good Morning atau buah laici di Singapura sepertimana yang begitu popular berlaku pada 80-an dahulu. Akan tetapi, urusan perniagaan akan tetap berlaku antara kedua negara, dan jumlah dagangan itu akan menjadikan perusahaan di Malaysia membayar nilai lebih tinggi untuk mendapat belakan atau perkhidmatan dari negara kecil yang hanya seberang Tambak Johor itu sahaja.

Bantuan tunai atau “fee money” sepertimana yang dimulakan secara besar-besaran di era Najib adalah antara musuh besar ekonomi pasaran. Rakyat mulanya memang merasa senang kerana mendapat wang secara percuma, dan mereka pun diharap mengundi Najib dan BN di dalam pilihan raya.

Wang BR1M pun dibelanjakan. Kata Najib, dengan yang demikian maka kedai-kedai pun mendapat keuntungan dan ekonomi pun bergerak lebih rancak.

Setiap wang percuma tanpa diimbangi dengan produktiviti, di sanalah penyakit bermula. Mereka yang memperolehi wang percuma atas nama “bantuan” tidak akan menjadikan produktiviti meningkat, jauh sekali membebaskan mereka daripada kemiskinan. Jauh!

RM1,500 itu bahkan tidak cukup untuk memulakan perniagaan bagi sebuah keluarga yang dikatakan sangat daif dan selalu tidak cukup makan. Dalam seminggu sahaja, atau mungkin dalam sekelip mata sahaja maka wang bantuan tunai pun habis digunakan—sementara menunggu lagi tahun depan untuk bantuan seterusnya dimasukan kepada dalam akuan bank.

Di sinilah hukum pasaran bergerak. Apabila wang semakin banyak tanpa peningkatan produktiviti, maka dengan sendiri harga barang dan perkhidmatan pun meningkat. Apabila wang sudah habis, rakyat akan hidup lebih terhimpit dan perit ketimbang sebelum dibantu. Lebih-lebih lagi apabila semuanya semakin mahal.

Tidak ada seorang pun perdana menteri dan menteri kewangan yang boleh melawan hukum pasaran sebegitu. Hukum pasaran bukan pula dapat ditentulah oleh Amerika Syarikat atau Russia. Ia adalah hukum alami pasaran.

Oleh itu, pemberian wang percuma ala BR1M—atau kini namanya BKM—adalah sama sahaja dengan memberikan seorang RM10, tetapi kemudian mengambil semula RM100 dari poket mereka.

Oleh itu, tunai RM10 itu tidak lebih merupakan perangkap yang menjadikan kehidupan rakyat semakin melarat, atau apa yang disebut sebagai “dependency syndrome”: kerajaan berniat mengikat sokongan politik atas makna “cash is king”.

Bentuk bantuan sebegini lazimnya dilakukan oleh kerajaan yang politiknya sangat lemah. Malangnya, apabila ringgit sudah tidak lagi berhaarga, pakar ekonomi pun menyebutkannya sebagai “cash is trash”.

Dalam benak fikiran elit politik, cara paling mudah untuk kekal berkuasa ialah dengan menabur wang. Keadaan seumpama secara lebih menjolok mata pernah dilakukan oleh Shah Iran ketika revolusi di negara berkenaan memuncak pada awal 1970-an. Bahkan ia dilakukan dengan ‘lebih kasar’ iaitu menaburkan wang tunai daripada helikopter!

Modal kempen PRU

Pada hemat saya, mungkin apabila ketiga-tiga jenis bantuan tunai itu tadi sudah gagal membeli undi sama ada di era Najib, Mahathir, Muhyiddin Yassin mahupun kini Ismail Sabri, maka bolehlah apabila hampir PRU nanti, Tengku Zafrul memakai kaedah sama iaitu menabur wang dengan helikopter dari Perlis, melewati banjaran Titiwangsa dan ke Sabah dan Sarawak untuk membolehkan dia menang di Kuala Selangor atau Lembah Pantai.

Mengikut laporan Bank Negara, kadar inflasi di Malaysia akan mencapai 3.5 peratus. Kadar berkenaan adalah sama buruknya sepertimana pada tahun 2015, di mana ketika itu Najib sedang galak memberikan BR1M.

Sudah tentu juga, apabila seseorang memberi wang percuma, sebenarnya ia adalah petanda yang dia mahu melakukan perompakan lebih besar untuk meraih keuntungan. Mustahil dia membantu, dia tidak mendapat untung.

Begitulah yang berlaku ketika BR1M ditabur, di belakang pintu, skandal 1MDB juga sedang rancak. Jhow Low sampai sekarang hilang entah di mana. Mudah cakapnya, berikan sahaja rakyat seorang RM1,500, namun…dalam masa sama, berbilion ringgit hilang daripada khanazah negara.

Baik Najib atau Zafrul, mereka nampak tidak sesungguhnya faham erti harga ayam, telur dan bawang yang naik. Poket mereka tidak terjejas. Bila rakyat bising, apa susah… tambah sahaja lagi wang dalam pasaran. Cetak lagi duit. Habis cerita.

Dan bertambah haru-birulah kalau kenaikan harga ayam boleh diturunkan dengan cara seorang perdana menteri pergi melawat pasaraya. Mencegeh mata ke arah ayam dalam bakul, maka harga ayam pun turun? Ini prinsip ekonomi apa?

Kalau kaedah photo-op sebegitu berkesan, sudah lama ketua-ketua negara di negara-negara maju melakukan cara sama. Dan seperti biasa, jalan yang akan dilakukan untuk mengawal inflasi ialah dengan mengurangkan permintaan, atau meredakan kerancakan pasaran.

Sekali lagi, cara yang dilakukan ialah dengan menaikan kadar faedah. Apabila kadar faedah tinggi, maka rakyat akan kurang berhutang. Jualan rumah, kenderaan dan apa sahaja kemudahan berhutang termasuk dengan kad kredit, akan menurun.

Cara ini pun tidak boleh terlalu lama sehingga indeks pengguna terjejas. Sekiranya pengguna kurang berbelanja, apa yang bakal terjadi ialah kemelesetan ekonomi. Saya tidaklah begitu ambil pusing dengan nasib syarikat-syarikat besar yang terjejas, tetapi kemelesetan ekonomi akan menjadikan rakyat atau golongan B40 dan M40 sebagai mangsa pertama.

Golongan itu akan kehilangan kerja. Syarikat terpaksa membuang pekerja kerana mahu mengekalkan keuntungan atau sudah tidak berupaya membayar gaji. Skala perniagaan menjadi kecil.

Apakah ini yang mahu dilihat berlaku kepada Malaysia untuk dua-tiga tahun ke hadapan? Dan apabila beberapa pihak mengunjurkan bahawa inflasi di Malaysia akan terus membengkak untuk beberapa tahun ke depan, ia sebenarnya adalah nama lain kepada kemelesetan ekonomi.

Sejak merdeka; sejak zaman atuk-nenek kita masih kekurangan makanan dan terpaksa makan ubi kayu; free money memang tidak menjadi amalan secara besar-besaran. Misalnya kerajaan di bawah PM Razak Hussein, apa yang dilaksanakan ialah kaedah yang lebih berkesan, seperti memberikan bantuan dalam bentuk keperluan alatan.

Kita tentu masih ingat, ibu-ibu di kampung-kampung dibekalkan mesin jahit atau ketuhar agar mereka boleh mengambil upah menjahit atau mengeluarkan roti bangkit yang nantinya dapat dijual. Begitu juga bapa-bapa kita yang diberikan mesin racun rumput agar dapat membersihkan kebun. Apabila kebun bersih, hasil tanaman akan bertambah.

Sama ada upah jahit baju, roti bangkit atau hasil betik dan kopi, semua itu memberi pulangan lebih lumayan dan berpanjangan ketimbang bantuan tunai apa pun. Di sanalah sebenarnya rakyat akan lebih menghargainya, kerana mereka perlu mampu berdikari dan bukan disuap setahun sekali.

Tunggulah sahaja PRU nanti, orang macam Najib, Muhyiddin dan Zafrul akan dengan bangganya menyebutkan bantuan tunai yang pernah mereka tabur sebagai bahan kempen. Ia sama dengan seseorang yang berbangga kerana memberikan gula kepada pesakit kencing manis.

Benarlah ungkapan Sultan Hemungku Buwono (1912-1988: “Pengorbanan rakyat lebih besar ertinya daripada wang, berapa pun besarnya bantuan wang.” Wajarlah Najib atau Zafrul diragui, kerana keduanya melaksanakan sesuatu yang sebenarnya semakin mejerut tengkuk rakyat ketimbang memerdekakan mereka.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.