Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis panggil 10 pemimpin PH susulan protes kenaikan harga barang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sepuluh pemimpin PH telah dipanggil polis berkaitan himpunan membantah kenaikan harga barang yang diadakan di Kampung Bharu, Kuala Lumpur semalam.

Perkara itu dinyatakan peguam Biro Hal Ehwal Undang-Undang (Kanun) Amanah Fadhli Umar Aminolhuda dalam satu kenyataan.

"Saya mengesahkan 10 pimpinan PH dipanggil untuk siasatan polis berikutan himpunan aman barang naik di Kampung Bharu tengahari tadi (semalam).

"Siasatan dikendalikan oleh ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi dan difahamkan siasatan dibuat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.

Dia berkata peguam Kanun akan mengiringi mereka untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi Isnin ini.

Fahdli tidak menyatakan nama individu yang dipanggil namun Timbalan Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan polis telah menghubunginya.

Protes singkat semalam dibuat di luar Masjid Jamek Kampung Bharu selepas sembahyang Jumaat dan disertai kira-kira 50 orang.

Antara pemimpin lain yang hadir adalah pengarah komunikasi Amanah Khalid Samad, Adun Taman Templer Sany Hamzan dan Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil.

Difahamkan Khalid dan Umar akan disoal siasat hari ini.

Antara tuntutan utama mereka adalah agar kerajaan mengembalikan subsidi, menghapuskan sistem permit import (AP) ke atas makanan dan mengadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan isu keselamatan makanan dan harga makanan.

Sany dalam sidang media selepas itu berkata protes lebih besar akan diadakan pada 16 Julai ini jika tuntutan tersebut tidak dilaksanakan.