50 ahli termasuk ketua Armada Temerloh sertai Umno
Sejumlah 50 ahli Pemuda Bersatu (Armada) hari ini mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Umno, malam tadi.
Dipimpin Ketua Armada Temerloh Muhammad Faharuddin Hashim, mereka berkata langkah itu disebabkan hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan dan sikap tidak cakna parti terhadap suara anak muda.
Muhammad Faharuddin mendakwa pendekatan pimpinan Bersatu ketika mengetuai kerajaan tidak banyak membantu golongan belia berdepan kepayahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Ketika Bersatu mengepalai kerajaan dan memegang Pejabat Perdana Menteri, terlalu sedikit usaha dilakukan untuk membantu anak muda terutamanya dari segi penyediaan peluang pekerjaan.
“Bersatu gagal membela nasib anak muda yang terjejas, termasuk kehilangan pekerjaan dan kita tengok Umno mempunyai track record yang baik, yang mampu mentadbir negeri Pahang dan Malaysia.
Katanya, tindakan dia mendaftar sebagai ahli Bersatu pada 2016 - walaupun tidak menganggotai mana-mana parti sebelum itu - adalah disebabkan faktor bekas perdana menteri Najib Razak.
“Ketika itu sentimen terhadap Datuk Seri Najib terlalu kuat, jadi saya ingat Bersatu adalah landasan saya untuk berpolitik.
“Tapi, ia bukanlah seperti diharapkan dan selepas beberapa ketika menimbangkan perkara ini, saya rasa ini (menyertai Umno) adalah keputusan tepat,” katanya.
Dia turut memberitahu sudah lama bercadang untuk bersama Umno, tapi menunggu masa paling sesuai bagi melakukannya.
“Ketika bekas ketua Bersatu Temerloh menyertai Umno, dia ada menasihatkan saya untuk melakukan perkara yang sama. Tetapi ketika itu saya menolak dengan baik,” katanya lagi.
Untuk rekod, ketua Bersatu Temerloh sebelum ini adalah Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang juga bapa saudara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tengku Azlan kembali menyertai Umno pada Ogos tahun lalu.
Sementara itu, Muhammad Faharuddin ketika ditanya jika tindakan dia dan 49 ahli Armada menyertai Umno didorong dengan janji atau imbuhan tertentu, dia menegaskan tidak ada sebarang tawaran dan imbuhan dijanjikan mana-mana pihak.
“Selepas dihubungi Ketua Pemuda Umno Pahang Mohd Farid Mohd Noor dan Ketua Pemuda Umno Temerloh Azril Rizal Yusof Mohd Sarit, saya tanya, ada syarat atau tidak (jika sertai Umno), mereka kata tidak ada, jadi saya setuju untuk mengumumkan malam ini (semalam),” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai