Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Pak Pandir menyambut Hari Kebangsaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan Keluarga Malaysia yang sangat memahami kebimbangan rakyat kerana tekanan ekonomi sekarang ini.

Atas keprihatinan mereka itulah kita - rakyat marhaen ini - disajikan lelucon yang sangat menusuk jiwa menjelang kedatangan Hari Kebangsaan tidak sampai dua bulan lagi.

Memanglah sajian lelucon itu boleh dikatakan hadir tanpa gagal setiap tahun. Tidak dapat dipastikan dengan tepat bilakah kali terakhir Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Multimedia (K-KOMM) - atau dulunya Kementerian Penerangan - gagal menggeletek jiwa rakyat dengan logo ciptaan mereka.

Lelucon itu juga secara lihai menjadikan kita tidak lagi peduli bagaimana tarikh keramat 31 Ogos itu bukan lagi dikenang sebagai detik mengingat negara ini mencapai kemerdekaan, sama seperti lincahnya kerajaan menyapu ke bawah tikar asal-usul sejarah munculnya sambutan Hari Malaysia.

Tarikh 31 Ogos kini hanya dikenang sebagai Hari Kebangsaan. Maklumlah, kita tidak pernah dijajah, katanya. Pedulilah entah berapa juta rakyat negara ini yang sudah diajar dan dididik bahawa sejak 1511 negara ini mula dicengkam kuasa asing jauh dari Eropah sana.

Jika kamu bertanya, mengapa begitu 'berbisa' kerajaan menguruskan hal-hal logo untuk sambutan negara, jawapannya adalah laksana seekor gajah di dalam kamar, tetapi semua orang yang ada berpakat seia sekata untuk memejamkan mata.

Barangkali sejak negara ini pandai menikmati sedapnya kuasa, kita dengan perlahan-lahan menganggap hal berkaitan seni, sastera dan budaya itu adalah bidang yang menyusahkan, membonsaikan dan memberatkan.

Dengan sombong kita pun beramai-ramai menjadi Pak Pandir yang maha bendul. Kemahiran berfikir secara kreatif dan bebas yang diajar secara bawah sedar melalui cabang seni, sastera dan budaya kita campak ke longkang.

Memanglah ada sesekali orang politik kelihatan menunjukkan keprihatinan kepada bidang berkenaan. Tetapi andainya ada 10 orang yang tiba-tiba menjadi ramah kepada seni dan budaya, kita dengan mudah akan yakin bahawa sembilan daripada mereka sedang menunjukkan sikap 'buang tebiat'.

Lahap apa saja depan mata

Manakala baki seorang lagi itu sedang mendera dirinya dengan berpura-pura mencintai seni, sastera dan budaya demi mengambil hati segmen tertentu dalam masyarakat.

Dan orang politik terbabit sebenarnya pandir juga. Dia tidak secerdik mana pun kerana dia gagal tahu bahawa ada antara segmen masyarakat yang sedang cuba dipikatnya itu akan sebenarnya boleh saja 'ditunggang' tanpa perlu berlakon pun.

Cukup sekadar berbasa-basi sedikit, atau menghulur sejumlah habuan, kemudian apa yang diinginkannya akan dapat dicapai.

Ampuan dan 'kipasan' yang luar biasa dan tidak terfikir dek akal yang sihat, misalnya.

Apabila kita menyebut "orang politik" di atas, ia termasuk menteri itulah.

Barangkali sudah tertulis sebagai sumpahan entah berapa keturunan, orang yang diberi tugas mengepalai kementerian yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal kesenian itu sejenis manusia yang kemandulan deria seninya.

Atau mungkin semua orang politik sebenarnya kematian rasa halus dalam diri masing-masing lantaran sudah mengasuh peribadi masing-masing untuk menjadi pelahap ke atas apa saja yang ada di depan mata.

Di K-KOMM sana orang politik yang diletakkan di situ mungkin sangat mahir dalam seni komunikasi.

Masalah dalam pakej

Pedulilah sama ada ia sejenis komunikasi yang luhur atau penuh dengan helah, yang penting sesuatu mesej - termasuk propaganda - berjaya dipancarkan dari stesen yang dikawal mereka.

Pengetahuan mengenai teknologi dan multimedia, entahlah.

Deria seni kreatif, sastera dan budayanya pula barangkali begitu hodoh. Sama hodoh - kalau pun tidak lebih hodoh - daripada produk yang mereka hasilkan.

Kerana itulah mungkin bakat yang cerdik, bergeliga dan mampu membawa pembaharuan terketepi, atau mengetepikan diri.

Lama-kelamaan mereka pun 'terbang' ke dahan lain dan tidak lagi mahu peduli apa-apa kepada nasib seni dan budaya negara ini.

Maka yang pandir semakin pandir, yang bendul pula semakin bendul. Dan entah berapa ramai rakyat yang disesatkan derita seni mereka tanpa disedari.

Justeru kita tidak perlu terkejut dengan produk seperti logo Hari Kebangsaan yang akan datang ini dijadikan bahan ketawa dan senda gurau. Ia adalah masalah yang dibungkus dalam satu pakej.

Dan tidak ada apa-apa yang boleh diharapkan daripada kementerian atau pemimpin lain kerana - selain ada yang gemar melaram - semuanya sedang sibuk dengan hal kerusi dan jawatan masing-masing.

Hakikatnya, bukan seni, sastera dan budaya itu menyusahkan, membonsaikan dan memberatkan jiwa kita tetapi orang politik yang sedang bersedap-sedap di atas sana.

Siapa kata Pak Pandir dah tak ada?


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang berminat kepada cerita-cerita (derita) rakyat.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.