Skip to main
Logo Malaysiakini

Nik Zawawi 'sangat pilu' dianggap remehkan masalah rakyat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Nik Zawawi Salleh menegaskan dirinya difitnah selepas dilaporkan memandang remeh isu kenaikan harga barangan keperluan di negara ini.

Anggota Parlimen Pasir Puteh itu berkata, dia "sangat pilu" apabila ada pemberita yang didakwanya tidak bertanggungjawab membuat laporan sedemikian.

Malah Nik Zawawi turut menyentuh mengenai soal dosa dan pahala dalam kerja wartawan.

"Hari ini (semalam) saya sangat rasa pilu apabila ada pemberita yang tak bertanggungjawab dan tak berpegang kepada konsep dosa dan pahala dalam pekerjaan mereka," katanya.

Menurut bekas ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu laporan yang mendakwa dia meremehkan kesulitan orang ramai yang berdepan tekanan kos sara hidup adalah suatu fitnah.

Katanya kenyataan sebegitu memang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh mana-mana pihak dalam kalangan pemimpin.

"Apa yang saya bagitahu ialah, kerajaan memandang serius terhadap kenaikan harga barang di negara kita, dan di dunia secara umumnya.

"Maka antara tindakan pantas yang diambil kerajaan ialah memberikan kepada rakyat B40 bantuan-bantuan khas dan sekali gus akan mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan tersebut," katanya malam tadi.

Rakyat negara lain lebih teruk

Terdahulu sebuah akhbar tempatan melaporkan Nik Zawawi berkata kerajaan akan terus mengambil pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat khususnya golongan B40 menangani kenaikan kos.

Katanya, selain memberi subsidi, kerajaan turut menghulurkan bantuan tunai terus kepada golongan sasar.

"Kerajaan telah memberikan rakyat bantuan kewangan secara langsung untuk membantu mereka mengatasi kenaikan kos barangan keperluan.

"Oleh demikian, kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada mereka (rakyat).

“Berbanding dengan rakyat dari negara lain, mereka di sana lebih teruk keadaannya daripada kita," katanya yang dipetik laporan tersebut.

Laporan itu dilihat mendatangkan kemarahan orang ramai khususnya pengguna media sosial yang mengecam Nik Zawawi.

Nik Zawawi berkata, dengan bantuan-bantuan kerajaan yang dinyatakannya itu rakyat tidaklah menghadapi masalah besar dalam kehidupan mereka.

"Dengan ini saya menafikan apa yg difitnah oleh akhbar-akhbar tempatan hari ini (semalam)," jelasnya.