Skip to main
Logo Malaysiakini

'Cetek pemikiran' - PBB bidas Hadi bermentaliti penjajah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang melabel mereka yang mendesak penguasaan Bahasa Inggeris, sebagai terperangkap dalam pemikiran zaman penjajah.

“Begitu malang untuk PAS apabila mempunyai pemimpin yang cetek pemikiran.

“Pandai berbahasa Inggeris tidak bermaksud seseorang mempunyai pemikiran zaman penjajah,” katanya.

“Bahasa Arab bukan bahasa di rantau kita. Adakah belajar bahasa Arab bermakna kita mempunyai pemikiran penjajah? Tidak,” kata Abdul Karim, yang juga adalah naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipetik oleh portal Free Malaysia Today.

Dia yang adalah menteri pelancongan dan anggota kanan dalam kerajaan Sarawak menasihatkan Hadi supaya tidak menjadi katak bawah tempurung merujuk kepada peribahasa Melayu yang mencerminkan mereka yang berfikiran jahil.

Peribahasa itu juga bermaksud mereka yang tidak tahu hal yang berlaku di sekeliling mereka dan orang yang tidak mahu menerima pembaharuan ataupun perubahan ataupun ilmu yang baru.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata Islam menggalakkan umatnya menuntut seberapa banyak ilmu yang boleh dan kemahiran menggunakan pelbagai bahasa bagi membolehkan mereka berkomunikasi lebih baik dengan seluruh dunia.

Semalam, Ahli Parlimen Marang itu menyelar pihak yang mengutamakan bahasa Inggeris sebagai mereka yang masih tidur dalam lamunan zaman penjajah.

Dakwa pemimpin PAS itu, berkata walapun “kaki mereka berpijak di sini, tetapi roh mereka tersangkut dengan bekas penjajah yang telah memperhambakannya.”

Bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi di Sarawak mengikut perlembagaan negeri.

Kedua-dua PBB dan PAS diwakili dalam kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Abdul Karim mengingatkan kenyataan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini Hadi pernah meremehkan kaum Dayak pada 2009 apabila dia berkata hanya Dayak bercawat yang mengundi BN.