Skip to main
Logo Malaysiakini

'Penyelewengan' ambil pekerja asing: Aduan AMK ke ibu pejabat SPRM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang mengesahkan laporan yang telah dikemukakan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dalam pengambilan pekerja Bangladesh ke negara ini akan dirujuk kepada pasukan di ibu pejabat suruhanjaya anti rasuah yang mengendalikan perkara itu.

Setiausaha Biro Undang-Undang Pemuda PKR Kebangsaan, Darwin Lim Chee Chien semalam diiringi Ketua AMK Permatang Pauh Fahmi Zainol dan anggota lain parti itu ke SPRM Pulau Pinang.

Lim berkata pihaknya percaya aduan mereka merupakan laporan rasmi pertama difailkan di negeri itu.

Prihatin berhubung isu keselamatan negara, mereka menggesa supaya siasatan menyeluruh terhadap semua pihak terbabit dalam proses pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia dilakukan dan mahu tindakan tegas diambil sekiranya terdapat penyelewengan dan konflik kepentingan.

Gambar hiasan.

Jelasnya, laporan yang difailkan AMK menekankan mengenai kebimbangan utama tertumpu kepada proses pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia.

Lim memberitahu Malaysiakini, aduan AMK itu menekankan dakwaan monopoli dalam proses pengambilan, integriti syarikat yang terlibat dalam proses itu dan dakwaan rasuah dalam proses pemilihan syarikat yang akan menjalankan pengambilan.

"Berdasarkan berita tersebut, boleh disimpulkan bahawa timbul isu penyelewengan dan konlfik kepentingan dimana terdapat persoalan terhadap apakah kriteria pemilihan 25 syarikat dan adakah ini akan menyebabkan monopoli pasaran dalam pengambilan buruh warga Bangladesh ke Malaysia.

"Saya berharap pihak SPRM membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat sekiranya wujud penyelewengan dan konflik kepentingan di antara syarikat yang terlibat dengan Kementerian Sumber Manusia.

Gambar fail, Menteri Sumber Manusia M Saravanan bertemu Menteri Kebajikan Pekerja Bangladesh Imran Ahmad di Dhaka.

"Saya percaya terdapat 1,300 syarikat yang memohon tetapi kita tidak tahu bagaimana dan mengapa hanya 25 syarikat yang diberikan pengiktirafan untuk mengambil pekerja," kata Lim.

Dia juga menyoal sekiranya terdapat sebarang kebenaran mengenai dakwaan hubungan istimewa antara syarikat dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan atau jabatan kerajaan yang lain.

Dakwa Lim, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, bekas menteri yang berkenaan dan Saravanan telah dikaitkan dengan isu ini, yang mengancam integriti kerajaan jika SPRM tidak menyiasat perkara itu.

Aduan AMK negeri itu juga merujuk kepada sebuah agensi di Dhaka yang mendakwa pengasas Bestinet Sdn Bhd, Mohd Amin Abdul Nor (gambar, bawah) telah mempengaruhi kerajaan untuk mengehadkan bilangan agensi yang membekalkan pekerja kepada 25 syarikat sahaja.

Selain itu, AMK turut menggesa siasatan penuh terhadap 25 syarikat terbabit termasuk Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet.

"Saya juga difahamkan bahawa Bestinet adalah syarikat yang membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), iaitu platform dalam talian untuk mendaftarkan pekerja asing berkolar biru dimana terdapat konflik kepentingan," kata Lim dalam aduan itu.

UKSB juga merupakan syarikat terlibat dalam perbicaraan rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China.

Katanya, ia menjadi isu keselamatan negara sekiranya syarikat yang terlibat dalam pengambilan buruh tidak memenuhi syarat ditetapkan dan terdapat penyelewengan dalam urusan mereka.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Bulan lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim membuat gesaan supaya siasatan dilakukan terhadap dua syarikat (Bestinet dan UKSB) yang terbabit dalam skandal pengambilan buruh.

Di tengah-tengah tekanan daripada pemain industri buruh agar pasaran dibuka kepada semua agensi pengambilan berdaftar di Bangladesh, Saravanan mempertahankan hak Malaysia untuk membuat keputusan muktamad dan menghadkan 25 agensi dan 250 subejen pekerja.

Jelasnya, kelulusan Kementerian Sumber Manusia kepada 25 syarikat untuk mengambil pekerja dari Bangladesh itu dibuat bagi mengelakkan amalan monopoli serta menjaga kebajikan dan mata pencarian pekerja berkenaan.

Saravanan turut menafikan dakwaan bahawa pengasas Bestinet kelahiran Bangladesh Mohd Amin Abdul Nor adalah sebahagian daripada "sindiket" untuk membekalkan buruh dari Bangladesh ke Malaysia.

[Baca berita asal]