MP Bersatu nafi 'umpan' G-Shock untuk meriahkan program Muhyiddin
Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abd Aziz, berkata kemeriahan sambutan orang ramai kepada program pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan pada Sabtu lalu dipengaruhi oleh pengagihan jam tangan Casio G-Shock dan payung.
Katanya seminggu sebelum program itu berlangsung ia sudah diuar-uarkan secara meluas kepada orang ramai khususnya di Tanah Merah.
Kata Ikmal Hisham mereka memaklumkan bahawa bekas perdana menteri yang juga Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, akan hadir.
Pada masa dia menyatakan program berkenaan diumumkan sekali lagi semasa berlangsungnya mesyuarat berkelompok persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di bawah bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah.
Menurut anggota parlimen Tanah Merah itu pihak penganjur menyerahkan kepada orang ramai yang hadir pada mesyuarat tersebut sama ada mahu menunggu bagi menghadiri pelancaran PN Kelantan atau pulang saja.
"Bagaimanapun orang ramai tidak berganjak, malah lebih ramai yang datang.
"Kehadiran mereka adalah secara sukarela dan bukannya kerana terdapat pemberian jam tangan G-Shock atau payung seperti didakwa.
"Saya percaya kehadiran mereka adalah bagi menghargai Muhyiddin yang banyak jasanya kepada rakyat ketika menguruskan pandemik Covid-19 semasa beliau menjadi perdana menteri," katanya hari ini.
Cabar buat tawaran jam
Bekas ketua Umno Tanah Merah itu berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal yang meragui sama ada orang ramai yang hadir di pelancaran PN Kelantan merupakan penyokong tulen gabungan tersebut atau sebaliknya.
Ia juga mendakwa kedatangan tersebut dipengaruhi pemberian jam tangan yang didakwa diberikan Ikmal, selain adanya acara cabutan bertuah yang turut menawarkan sebuah kereta sebagai hadiah utama.
Kata Ikmal Hisham, kehadiran itu - yang dianggarkan 30,000 orang - bukan disebabkan pemberian jam tangan atau payung percuma.
Menurutnya sambutan terhadap sesuatu program bergantung kepada pandangan orang ramaia kepada pihak yang terlibat.
"Jika program atau penganjurnya tidak disukai oleh rakyat, betapa besar pun hadiah yang disediakan orang ramai tetap tidak akan hadir," katanya.
Dia turut mencabar mana-mana pihak yang yakin hadiah percuma boleh menarik ramai orang di Tanah Merah untuk hadir agar cuba menganjurkannya.
"Saya mempelawa mana-mana pihak menganjurkan apa-apa majlis di Tanah Merah dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah lebih hebat bagi membuktikan sama ada mereka mampu atau tidak menarik kehadiran lebih 30,000 orang," katanya.
Tambah Ikmal Hisham dakwaan tersebut juga tidak munasabah kerana untuk mengagihkan jam tangan G-Shock kepada 30,000 orang memerlukan kos sehingga berbelas-belas juta ringgit
"Saya mencabar mereka yang membuat tuduhan itu agar mengemukakan bukti jika ada mana-mana individu menerima pemberian jam tangan atau payung ketika hadir di majlis berkenaan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai