Skip to main
Logo Malaysiakini

Empat anak rimau dikesan, ada sinar pemuliharaan - WWF

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Imej seekor ibu harimau Malaya dan empat anaknya di habitat liar memberi sinar harapan pemuliharaan bagi spesies yang terancam kritikal itu.

WWF Malaysia berkata imej itu dirakam oleh perangkap kamera pada awal tahun ini.

“Dengan populasi harimau yang kini berjumlah kurang daripada 150 ekor di Semenanjung Malaysia, perkembangan terbaru ini memperbaharui harapan bahawa spesies yang terancam kritikal ini dapat diselamatkan daripada ambang kepupusan.

"Adalah lebih penting untuk kami meneruskan rondaan kami, untuk melindungi anak-anak ini dan ibu mereka daripada ancaman pemburu haram dan kehilangan habitat sedia ada," kata Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia Sophia Lim pada satu kenyataan hari ini.

Gambar fail.

Harimau melahirkan dua hingga empat ekor anak setiap dua tahun.

Jika semua anak dalam satu induk betina itu mati, seekor harimau boleh melahirkan anak kedua dalam tempoh lima bulan jika ia menemui pasangan yang sihat dan terdapat keadaan yang kondusif untuk pembiakan.

Harimau diancam pemburuan haram, kemusnahan habitat akibat penebangan hutan serta kawasan yang semakin mengecil dan terpecah-pecah akibat aktiviti dalam hutan yang sah seperti perladangan dan perlombongan.

Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC) Shah Redza Hussin berkata kehadiran anak-anak itu menjadi bukti bahawa harimau masih boleh membiak dan hidup subur di hutan di Malaysia jika dilindungi.

Gambar fail.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan, WWF-Malaysia dan Unit Peronda Orang Asli Menraq PSPC) kerap melakukan rondaan di Taman Negeri Royal Belum, sebuah habitat harimau seluas 117,500 hektar.

"Ia muafakat bersama. Penampakan ini adalah bukti bahawa dengan populasi yang berdaya maju - walaupun kecil - harimau masih boleh mendiami semula jika habitat, makanan dan keselamatan mereka terjamin," katanya.

WWF-Malaysis berkata rondaan telah mengurangkan insiden pemburuan haram sebanyak 98 peratus.

Kumpulan itu juga menjangkakan hukuman yang lebih berat bagi jenayah terhadap hidupan liar akan memberi kesan positif kepada pemuliharaan sepesis terancam.

Pindaan undang-undang, mengenakan denda maksimum RM1 juta, naik daripada RM500,000, bagi pesalah berkuat kuasa pada bulan ini.

Mula ronda sekitar 2018

Terdahulu, pakar pemuliharaan Mark Rayan Darmaraj memberi amaran harimau Malaya boleh pupus menjelang tahun ini jika usaha menyelamatkannya tidak dipergiatkan.

Dia berkata perlu ada sekurang-kurangnya 2,500 hingga 5,000 renjer untuk mengawal habitat hidupan liar di Semenanjung Malaysia, dan peningkatan rondaan hanya dilihat bermula pada 2018 dan tahun seterusnya.

Dia memberitahu Al Jazeera pada wawancara bulan Mei bahawa mengekalkan kompleks hutan yang saling berhubung juga merupakan kunci kepada kelangsungan hidup harimau.

Jelasnya, penukaran habitat harimau kepada tujuan guna tanah lain memecah-belah kawasan hutan menjadi tompok-tompok yang lebih kecil.

Pun begitu, harimau mempunyai rangkaian habitat yang luas dan tanpa perhubungan antara hutan, pergerakan hidupan liar terancam itu terhad.

Ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada kepupusan akibat penyakit dan kekurangan peluang untuk menambah populasi, katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan kelulusan perlombongan nadir bumi di koridor hutan di Perak, yang ditandakan sebagai habitat hidupan liar terancam termasuk Harimau Malaya.

Jabatan Alam Sekitar pula sedang menyemak laporan penilaian kesan alam sekitar yang dikemukakan untuk perlombongan emas di habitat harimau di hutan simpan Sokor Taku di Kelantan.

[Baca berita asal]