Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mendamaikan resah Diana Danielle

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | 'Apa guna mengundi jika pilihan pengundi tak dihormati ahli politik?' - demikian tajuk dipilih Malaysiakini untuk membingkai ciapan pelakon popular Diana Danielle yang diberitakan dalam bahagian seni dan hiburan portal terbabit.

Kerana tajuk itu berbentuk soalan, maka wujudlah keperluan untuk menjawabnya, meski ciapan Diana bukanlah suatu persoalan.

Dia malah menyatakan pendirian dan sebenarnya tidak berminat untuk tahu apa guna dia mengundi lagi selepas ini.

Tidak sukar untuk memahami kekecewaan Diana. Bukan dia seorang sahaja yang punya pendapat dan pendirian sedemikian. Saya begitu juga. Apatah lagi sebagai seorang mantan operator politik; kekecewaan saya itu pastilah lebih bersangatan.

Jadi tidak apa, Diana. Keresahan dan rasa menyampah itu ada asasnya.

Cuma itulah. Kita boleh menolak politik; tetapi politik tidak akan pernah menolak dan mengabaikan kita. Malah semakin tangkas kita menepis politik daripada kehidupan, semakin galaklah politik berevolusi menjadi semakin jahat untuk terus menyusahkan kehidupan kita semua.

Cubaan sabotaj pilihan raya

Logik ini seperti logik beberapa kerat pandir yang mencadangkan supaya kurangkan makan ayam/telur kalau ayam/telur naik harga. Kalau tak mahu jalan ada tol, ikutlah jalan tanpa tol. Kalau harga petrol naik, kayuh basikal. Kalau diesel mahal dan tambang bas sekolah naik, jangan pergi sekolah. Kalau menteri mahal, kurangkan menteri. Kalau politik kotor, jangan mengundi.

Mudah, ya, tetapi tidak berapa cerdik.

Sebelum bermula riuh-rendah PRU ke-14 lebih empat tahun lalu, wujud satu gerakan (kalau boleh kita panggil gerakan) yang mengajak orang ramai untuk merosakkan undi masing-masing.

Gerakan ini menyeru supaya orang ramai keluar mengundi, tetapi rosakkan undi dengan apa cara sekali pun sebagai tanda protes terhadap keadaan politik negara pada waktu itu.

Bunyinya sangat idealistik, malah disokong oleh beberapa individu yang boleh tahan cerdik. Mereka siap berforum bagi membincangkan gerakan yang begitu besar cita-citanya itu.

Kata mereka ahli politik ibarat Pepsi dan Coca Cola - pilih yang mana-mana pun sama saja.

Sementara pendapat itu tidak salah secara total, gerakan tersebut cuba mensabotaj proses pilihan raya dengan mewujudkan sejumlah undi yang tidak menyumbang kepada keputusan.

Ia menyuruh orang keluar mengundi, rosakkan undi, campak kertas undi ke dalam peti, pulang ke rumah dan tidur. Serupa tak payah mengundi langsung, kan?

Upaya untuk menganjurkan orang supaya langsung tidak mengundi ini disebut sebagai voter suppression. Ia merupakan suatu strategi untuk menghalang sebuah keputusan daripada dicapai dengan memastikan pembuat keputusan tidak dibenarkan membuat keputusan terbabit.

Sama halnya dengan langkah mengadakan PRU ke-14 pada Rabu, yakni hari bekerja pada tengah minggu. Belum dicampur bagaimana undi pos dipayahkan pada ketika itu.

Lari dalam gelap malam

Semua itu merupakan sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan jumlah pembuat keputusan daripada melaksanakan kewajiban masing-masing.

Lalu, apabila bilangan pengundi berkurangan, siapakah yang untung? Pengundi? Sudah tentu tidak!

Dalam sebuah negara yang pilihan rayanya pun diragui, satu-satunya cara untuk menewaskan matematik pilihan raya ialah dengan membanjiri persamaan matematik ketika itu dengan angka yang tidak dijangka oleh sistem.

Pada PRU ke-14, 82.8 peratus pengundi berdaftar keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing ketika proses demokrasi cuba disukarkan oleh pihak-pihak tertentu.

Hal itu - ditambah dengan mood masyarakat melawan kleptokrasi dan segala yang berkaitan, serta pecahnya deposit tetap Umno di Johor dan kawasan yang berjaya ditembusi kempen Dr Mahathir Mohamad - BN akhirnya jatuh tersembam.

Suruhanjaya Pilihan Raya tidak tidur malam cuba melewatkan pengumuman keputusan meski hakikatnya sudah diketahui jauh lebih awal. Ada yang cuba lari meninggalkan negara di tengah gelap malam.

Kotak-kotak berwarna oren diangkut dari kediaman keluarga Najib Razak ke dalam trak-trak polis. Dia dan isterinya diheret ke mahkamah, bersekali dengan beberapa rakan-rakan sekerja.

Ini semua terjadi kerana rakyat berjaya menewaskan sistem pada PRU ke-14.

Bukan terus pendam kecewa

Tetapi yalah, itu baru satu sistem. Ada banyak lagi sistem bobrok yang masih perlu diperbetulkan. Lalu di sini muncul kekecewaan Diana Danielle.

Tutup satu pintu, pintu lain pula terbuka. Yang kalah pula tiba-tiba menderu masuk ikut pintu-pintu ini untuk merampas kuasa dan menjadikan PRU ke-14 seolah-olah tidak bermakna.

Diana, kalau Diana tidak keluar mengundi - dan ramai lagi ikut bersetuju dengan pendekatan tersebut - pintu-pintu kecil tadi akan diubah suai menjadi pintu gerbang bertatah emas permata.

Kesannya, sistem yang sedia tempang sekarang ini bukan sahaja akan bertongkat, malah akan terus duduk atas kerusi roda.

Ketika itu Diana barangkali langsung tidak payah mengundi lagi. Parlimen pun silap-silap sudah tidak ada, digantung fungsinya seperti yang dilakukan beberapa ketika dulu.

Demokrasi tidak wujud, suara dan kritikan Diana tiada nilai lagi. Twitter pun mungkin tak ada. Hah, tulislah kritikan dalam diari dan simpan di bawah bantal.

Kita harus melawan politik jahat dengan politik kebaikan, bukan dengan menolak politik sama sekali. Kita mewujudkan politik kebaikan dengan mengajak lebih ramai orang baik untuk bergabung menolak para koruptor.

Bukan dengan duduk berdiam diri memendam kecewa diam-diam sementara jiran tetangga di luar sana berlawan bagi pihak kita.

Resah dan gelisah Diana - serta juga ramai lagi di luar sana - hanya akan selesai apabila semua pihak ikut turun tangan melawan dan mengatakan tidak kepada politik kejahatan.

Seperti babak melawan boggart dalam filem Harry Potter and the Prisoner of Azkaban. Benda-benda jahat menakutkan hanya boleh dikalahkan dengan bilangan yang mencukupi bagi mentertawakan kejahatan sehingga ia malu dan melarikan diri.

Setakat menutup mata dan mengulang sebut "aku tak percaya" tidak akan jadi apa-apa, Diana.


IZMIL AMRI ialah penulis dan pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.