Skip to main
Logo Malaysiakini

Tambak laut di Johor: Dari mana pasir akan diambil?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hanya dalam satu dekad, Johor memulakan dua projek tambak laut mega. Ia memerlukan jumlah pasir yang sangat banyak.

Forest City, projek mega pertama yang bermula pada 2015, mewujudkan empat pulau buatan dan sepatutnya melibatkan 1,386 hektar di pesisir barat daya Johor.

Namun, ia tergendala selepas hanya 396 hektar ditambak - saiz untuk pulau pertama - memandangkan permintaan untuk hartanah mewah yang dibina terutama untuk pembeli kaya dari China merosot, selepas kerajaan negara itu mengenakan kawalan terhadap pelaburan luar negara oleh warganya.

Kini, Johor menyasarkan kawasan barat dekat Selat Melaka. Ia merancang untuk menambak seluas 1,295 hektar untuk membina tiga pulau buatan sebagai hab gas dan minyak, dinamakan sebagai Maharani Energy Gateway.

Untuk konteks, ia bersamaan dengan saiz 120,192 kolam renang Olimpik. Dari manakah jumlah pasir sebesar ini akan diambil?

Untuk projek Forest City, sebahagian besar pasir dilombong daripada Beting Teluk Ramunia di negeri itu.

Pada 2014, Malaysiakini memperincikan kegiatan perlombongan pasir di kawasan itu yang dijalankan oleh Mados Sdn Bhd milik kerabat diraja Johor.

Sumber pasir berkaitan istana

Bagi penambakan untuk projek Maharani Energy Gateway, laporan impak alam sekitar (EIA) menamakan dua syarikat di Johor yang mungkin menjadi pembekal pasir.

Syarikat itu adalah Suria Positif Sdn Bhd (di kawasan perairan di Batu Pahat) dan Ibzi Holdings Sdn Bhd (di kawasan perairan di Sungai Balang, Muar).

Semakan Malaysiakini dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati kedua-duanya ada kaitan dengan istana.

sejumlah 99 peratus pegangan dalam Ibzi Holdings milik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar manakala baki satu peratus dimiliki Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Suria Positif adalah milik penuh Bidari Kekal Sdn Bhd, yang mana 70 peratus pegangannya milik Daing A Malik Daing A Rahaman, rakan niaga Sultan Johor.

Sultan Ibrahim

Baki pegangan dalam Bidari Kekal adalah milik Abd Aziz Daing Rahman dan Daing A Abd Rahim Daing A Rahman - masing-masing memiliki 15 peratus pegangan.

Pada masa sama, kedua-dua Sultan Ibrahim dan Daing A Malek adalah pemilik kepada projek Maharahi Energy Gateway.

Sebanyak 40 peratus pegangan dalam syarikat pemaju untuk projek itu, Maharani Energy Gateway Sdn Bhd, dimiliki Sultan Ibrahim manakala 15 peratus milik Daing.

Baki 45 peratus dimiliki dua individu - Eric Ong Zong Ren, 28, and Valerie Ong Huei Zhen, 29 - menerusi K Energey Sdn Bhd.

Dalam laporan sebelum ini, Malaysiakini memperincikan bagaimana Eric dan Valerie didaftarkan dalam isi rumah yang sama dengan doktor perubatan yang kemudiannya menjadi ahli perniagaan, Dr Ong Tun Tse, 69.


Dua pemuda 20-an jadi rakan kongsi bisnes Sultan Johor


Tun Tse terlibat dalam projek bermasalah iaitu Melaka Gateway - satu projek tambak laut mega di negeri itu.

Dia memiliki 39.75 peratus pegangan dalam KAJ Development Sdn Bhd, pemaju bagi projek tersebut.

Laporan EIA Maharani Energy Gateway turut menyenaraikan pemegang konsesi perlombongan pasir di Melaka di mana pasir mungkin diambil di kawasan itu.

Antaranya KAJ Development, yang turut menjalankan kegiatan lombong pasir di perairan Melaka.

Entiti lain yang mungkin menjadi pembekal pasir yang tersenarai adalah Swas Metropolitan Sdn Bhd, Timbang Suasa Sdn Bhd, Yayasan Melaka dan Syarikat Bahtera Teroka Sdn Bhd.

Selain Yayasan Melaka yang merupakan milik kerajaan negeri, tiada tanda-tanda bahawa ada ahli politik atau kerabat yang menjadi pemegang saham dalam syarikat yang menjalankan perlombongan pasir di Melaka.

Projek dengan nilai kasar RM99 bilion untuk tempoh 10 tahun ini menjanjikan 26,769 peluang pekerjaan.

Pada masa sama, ia memberi kesan besar kepada nelayan tempatan dan alam sekitar dan sama ada ia benar-benar akan berjaya seperti yang dijanjikan, atau menimpa nasib yang sama seperti projek tambak laut mega Forest City yang tergendala.

[Baca berita asal]

Bahagian 1: Lagi projek tambak laut sultan Johor, kali ini di Selat Melaka

Bahagian 2: Dua pemuda 20-an jadi rakan kongsi bisnes Sultan Johor