Jawatan TPM: 'Janji PM dengan Muhyiddin tiada faedah untuk rakyat'
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu mengotakan janjinya dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkaitan jawatan timbalan perdana menteri (TPM), kata seorang pemimpin Umno.
“Umno sokong Muhyiddin jadi perdana menteri demi rakyat walaupun dia bersekongkol dengan DAP untuk jatuhkan BN pada PRU14.
“Tetapi Bersatu sokong Ismail Sabri jadi perdana menteri demi jawatan timbalan perdana menteri, bukan rakyat.
"Maka amat wajar perdana menteri tidak layan perjanjian itu. Tidak ada faedah untuk rakyat. Tidak sama PH-Bersatu memungkiri janji rakyat 100 hari,” tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan semalam mendedahkan terdapat perjanjian bertulis antara Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail untuk jawatan TPM.
Wan Saiful mendakwa, perjanjian itu dibuat sebelum Ismail dilantik menjadi perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin yang hilang sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.
Mengakui lantikan TPM sebagai kuasa prerogatif perdana menteri, Wan Saiful berkata Bersatu akan melihat dan menilai sama ada perjanjian itu akan ditunaikan atau tidak.
Wan Saiful enggan mengulas dakwaan Muhyiddin menamakan timbalannya dalam Bersatu Ahmad Faizal Azumu untuk jawatan itu.
Sementara itu, Puad berkata, di saat kejatuhan pun, Muhyiddin masih bernafsu besar menuntut jawatan TPM untuk Bersatu.
"Maksudnya dari awal lagi keutamaan Bersatu ialah jawatan.
“Dari awal lagi rupanya Bersatu sudah mengugut Ismail Sabri kerana kejar jawatan,” kata Puad dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata Umno ternyata lebih baik apabila tidak membuat sebarang perjanjian bertulis ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.
“Lebih gentleman (budiman) dari Bersatu. Masa Umno sokong Muhyiddin jadi perdana menteri tidak ada perjanjian bertulis.
“Tidak ada syarat jawatan timbalan perdana menteri.
Ahad lalu, Muhyiddin berkata, dia bertemu Ismail untuk membincangkan pelantikan dalam kabinet, termasuk jawatan TPM yang menurutnya berkait perjanjian PN dengan perdana menteri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai