Skip to main
Logo Malaysiakini

Perlembagaan mengikat sultan daripada perniagaan, kata Hassan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh terlibat secara aktif di dalam bidang perniagaan atau komersial, juga terpakai kepada sultan, kata seorang ahli parlimen PKR.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, ini memandangkan terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut “jika mana-mana undang-undang negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri itu”

Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial”.

Sementara, Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jika terdapat undang-undang negeri yang tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka ia adalah tidak sah dan terbatal.

Justeru, Hassan berhujah memandangkan kesembilan-sembilan negeri yang mempunyai sultan adalah sebahagian daripada Persekutuan, maka undang-undang persekutuan juga berkuat kuasa di negeri-negeri berkenaan.

“Ini bermakna larangan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 34 (3) Perlembagaan Persekutuan terpakai dan mengikat sultan-sultan pemerintah negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun Hassan tidak menyebut mana-mana sultan secara khusus, kenyataannya dibuat selepas Malaysiakini melaporkan kepentingan perniagaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakan kongsi baginda dalam projek penambakan Maharani Energy Gateway.

Projek itu bernilai kasar RM99 bilion dalam tempoh sepuluh tahun. Sultan Johor mempunyai kepentingan 40 peratus dalam projek berkenaan, manakala rakan rapatnya Daing A Malek Daing A Rahaman memegang kepentingan 15 peratus.

Sultan Ibrahim turut memiliki kepentingan 99 peratus syarikat perlombongan pasir yang berpotensi menjadi pembekal pasir untuk kerja-kerja penambakan laut di Maharani Energy Gateway.

Ia adalah antara beberapa usaha perniagaan yang diceburi oleh baginda.

Sultan atau raja negeri-negeri lain juga diketahui mempunyai kepentingan perniagaan.

Bagi Hassan, Perkara 34(3) berperanan untuk melindungi Yang di-Pertuan Agong daripada sebarang pertentangan kepentingan, serta menjaga maruah dan kedudukan baginda dari sebarang pertikaian undang-undang yang boleh membawa baginda terheret ke mahkamah.

Dia berkata hal yang sama boleh digunakan di peringkat negeri jika sultan-sultan pemerintah negeri terlibat secara aktif dalam bidang perniagaan atau komersial.

Malah, katanya kuasa kerajaaan nNegeri amat besar dalam hal-hal seperti tanah dan air, baik di daratan atau di lautan.

“Pertentangan kepentingan akan berlaku dan tentu sekali akan menyusahkan pimpinan kerajaan negeri jika sultan-sultan di sesuatu negeri terlibat secara aktif dalam bidang perniagaan atau komersial,” katanya.

Justeru, pemimpin PKR Johor itu berkata, demi menjaga nama baik institusi diraja, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mesti membawa perkara berkaitan larangan ke atas sultan daripada berniaga kepada Majlis Raja-raja Melayu.

[Baca berita asal]